Seni Silat Kuningan Kian Dapat Tempat


Oleh: Aminji

KEMAMAN, 19 Mac - Silat merupakan seni bela diri yang begitu sinonim dengan bangsa Melayu. Warisan Melayu yang begitu bernilai ini perlu dipelihara dan diteruskan oleh golongan belia masa kini. Menyahut seruan kerajaan agar warisan ini terus terpelihara, sebuah lagi gelanggang silat telah dibuka baru-baru ini.

Seni Silat Kuningan yang berasal dari Ciberon Timur, Jawa Barat, Indonesia ini telah diasaskan oleh Syekh Mohamed Dakim sebelum diperkembangkan ke Tanah Melayu sekitar tahun 50an oleh Haji Hussain Shah maulana Ibrahim Shah.

Pertubuhan ini melebarkan sayapnya apabila membuka gelanggang baharu di Kampung Tok Kapur, Binjai baru-baru ini. Gelanggang yang dipimpin oleh Said Baharuddin Said Abu ini memiliki seramai 30 orang pelatih yang terdiri daripada kanak-kanak, remaja dan golongan dewasa. Latihan diadakan pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, bermula jam 9 malam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim amat berbangga dengan golongan belia yang begitu bersungguh-sungguh mempelajari ilmu silat warisan Melayu ini.

“Anak muda pada masa kini sewajarnya merebut peluang mempelajari ilmu persilatan ini kerana ianya bukan sahaja berguna untuk mempertahankan diri, malah mendidik kita untuk lebih berdisiplin dalam mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan gelanggang di sini baru-baru ini.


Bagi pelajar yang baru sahaja menyertai silat ini, mereka terlebih dahulu akan diajar dengan teknik asas silat yang dikenali sebagai Jurus Tunggal sehingga mahir sebelum beralih ke jurus yang seterusnya.

Sumber: teganukita.net