Tiga Pemberian Yang Tidak Boleh Ditolak


SOALAN:
Adakah terdapat hadith Nabi di mana Nabi SAW sebut “tiga pemberian yang tidak boleh ditolak iaitu bantal untuk alas duduk, susu untuk diminum dan minyak”. Jika ada apakah statusnya serta penjelasan berkenaan hadith ini? Mohon pencerahan.

JAWAPAN:
Di antara sikap seorang Muslim adalah sentiasa berhati-hati menukilkan apa yang disandarkan kepada Nabi SAW. Ini berdasarkan prinsip yang telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا بِجَهَـٰلَةٍ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَـٰدِمِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini -dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya)- sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah Al-Hujurat: 6)


Sheikh Mustafa Al-Maraghi di dalam tafsirnya menyebut apabila ada seseorang yang membawa satu berita maka berhenti dari terus mempercayainya dan mintalah bukti supaya dapat diketahui hakikat sebenar berita tersebut. Jangan terus berpegang dengan berita tersebut. Sesiapa yang tidak memperdulikan kefasiqan maka dia sebenarnya tidak memperdulikan penipuan dan pembohongan. (Rujuk: Tafsir Al-Maraghi, 26/127)

Sikap sentiasa menyelidiki setiap apa yang didengari ini perlu ada dalam diri setiap Muslim khususnya yang berkaitan hadith-hadith Nabi SAW. Ini bagi mengelakkan mereka mendengar hadith-hadith yang tidak tsabit daripada Nabi SAW.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, matan asal bagi hadith yang dinyatakan oleh saudara penyoal ada seperti berikut:

ثَلاَثٌ لاَ تُرَدُّ : الوَسَائِدُ ، وَالدُّهْنُ ، وَاللَّبَنُ
“Tiga perkara yang tidak boleh ditolak. Bantal alas, minyak dan juga susu.”


Hadith ini diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar melalui pelbagai jalan riwayat. Kami nukilkan hadith secara penuh beserta sanad yang terdapat di dalam kitab-kitab yang muktabar.

1. Jami’ Al-Tirmizi. Imam Al-Tirmidzi berkata:

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ ، قَالَ : حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي فُدَيْكٍ ، عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ مُسْلِمٍ ، عَنْ أَبِيهِ ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ثَلاَثٌ لاَ تُرَدُّ : الوَسَائِدُ ، وَالدُّهْنُ ، وَاللَّبَنُ الدُّهْنُ : يَعْنِي بِهِ الطِّيبَ
Qutaibah menceritakan kepada kami. Dia berkata: Ibnu Abi Fudaik menceritakan kepada kami daripada Abdullah Bin Muslim daripada ayahnya daripada Ibnu Umar. Beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tiga perkara yang tidak boleh ditolak.Bantal alas, minyak dan susu.” [Riwayat Al-Tirmidzi (2790)]

Imam Al-Tirmidzi menghukumkan hadirh ini sebagai hadith gharib.

2. Imam Al-Baihaqi meriwayatkan hadith yang sama dengan sanadnya. Beliau berkata:

أخبرنا أبو أحمد بن الحسين بن علوشا بن محمد بن نصر الأسد أبادي بها أنا أبو بكر بن جعفر بن حمدان بن مالك ثنا علي بن طيفور بن غالب ثنا قتيبة بن سعيد ثنا ابن أبي فديك عن عبد الله بن مسلم عن أبيه عن ابن عمر
Abu Ahmad Bin Al-Husain Bin ‘Alusya Bin Muhammad Bin Nasr Al-Asad Abadi mengkhabarkan kepada kami. Abu Bakar Bin Jaafar Bin Hamdan Bin Malik. Ali Bin Thoifur Bin Ghalib menceritakan kepada kami. Qutaibah Bin Sa’id menceritakan kepada kami. Ibnu Abi Fudaik menceritakan kepada kami daripada Abdullah Bin Muslim daripada ayahnya daripada Ibnu Umar. [Riwayat Al-Baihaqi (6079) di dalam Syu’ab Al-Iman]

3. Abu Nuaim Al-Asbahani menyebut:

حدثنا عبد الله بن محمد بن جعفر ، ثنا محمد بن الفضل بن الخطاب ، ثنا أبو الفضل ، ثنا قتيبة عن ابن أبي فديك ، عن عبد الله بن مسلم ، عن أبيه ، عن ابن عمر
Abdullah Bin Muhammad Bin Jaafar menceritakan kepada kami. Muhammad Bin Fadhl Bin Al-Khitab menceritakan kepada kami. Abu Al-Fadhl menceritakan kepada kami. Qutaibah Bin Sa’id menceritakan kepada kami daripada Ibn Abi Fudaik daripada Abdullah Bin Muslim daripada ayahnya daripada Ibnu Umar.

Imam Al-Tirmidzi melalui sanadnya menyebut bahawa hadith tersebut adalah hadith yang ghorib. Ibnu Hajar Al-Asqalani menyatakan bahawa sanad hadith ini adalah sanad yang hasan akan tetapi tidak menetapi syarat yang telah diletakkan oleh Imam Al-Bukhari. (Rujuk: Fath Al-Bari, Syarh Sohih Al-Bukhari, 5/209)

Al-Munawi menyebut bahawa hadith ini adalah hadis yang Hasan. (Rujuk: Tuhfah Al-Ahwazi, 8/74)

Sanad hadith ini berpaksi atau tertumpu kepada Ibnu Abu Fudaik. Nama sebenar beliau ialah Muhammad Bin Ismail Bin Abi Fudaik Al-Madani. Imam Al-Zahabi menyebut bahawa beliau seorang yang saduq dan merupakan perawi yang masyhur yang ada riwayatnya di dalam Al-Kutub Al-Sittah. Kebanyakan ulama’ menyatakan bahawa beliau adalah seorang yang tsiqah. (Rujuk: Mizan Al-‘Itidal Fi Naqd Al-Rijal, 4/483)

Yahya Bin Ma’in mengatakan bahawa Ibn Abu Fudaik adalah seorang perawi yang tsiqah. (Rujuk: Al-Jarh Wa Al-Ta’dil Li Ibn Abi Hatim, 7/189). Beliau meninggal dunia pada tahun 200 H.

Abdullah Bin Muslim adalah juga adalah seorang yang tsiqah. Abu Zur’ah menyebut tidak mengapa untuk riwayatkan hadith dari beliau. (Rujuk: Tahzib Al-Kamal, 16/128 ; Al-Thiqat, 8/51)

Muslim pun Jundub pula adalah ayah kepada Abdullah. Beliau juga merupakan perawi yang tsiqah. Ibnu Hibban menggolongkan beliau sebagai salah seorang perawi yang terpercaya. (Rujuk: Al-Thiqat, 5/395)

Imam Al-Bukhari menukilkan hadith riwayat beliau di dalam kitabnya Af’al Al-‘Ibad. Al-‘Ijli menyebut bahawa beliau adalah tsiqah. (Rujuk: Ma’rifah Al-Thiqat, 2/61)

Berdasarkan apa yang telah dikemukakan, kami lebih cenderung mengatakan bahawa hadith tersebut adalah hadith yang hasan.

Fiqh Hadith

Hadith ini pada asasnya bermaksud pemberian-pemberian yang diberikan yang tidak sepatutnya ditolak. Dalam konteks hadith ini bermaksud pemberian-pemberian tidak seharusnya ditolak khususnya apabila berkunjung atau berziarah ke rumah sahabat handai, ahli keluarga dan sebagainya dan apabila dihulurkan tiga perkara ini maka tidak seharusnya ditolak.

Sheikh Muhammad Abdurrahman Al- Mubarakfuri menyebut bahawa tidak seharusnya ditolak jika diberikan tiga perkara tersebut. Ini kerana hadiah-hadih kurang nilainya sehingga tidak menyebabkan si pemberi merasa bangga dan angkuh dan juga tidak menyebabkan mudarat kepada si penerima. Beliau juga menukilkan pandangan Al-Tibi terhadap hadith ini. Al-Tibi menyebut bahawa ini adalah ketika datangnya pemberian dari tuan rumah yang mana tujuannya adalah untuk memuliakan tetamu. Maka jangan ditolak jika diberikan. Hadiah seperti ini walaupun ringan tapi bermanfaat. (Rujuk: Tuhfah Al-Ahwazi Syarh Jami’ Al-Tirmizi, 8/74). Ia juga adalah satu penghargaan buat tuan rumah.

Apatah lagi jika yang diberikan itu adalah minyak wangi. Bahkan ini adalah di antara kebiasaan Nabi SAW apabila diberikan minyak wangi. Anas Bin Malik berkata:

إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لاَ يَرُدُّ الطِّيبَ
“Sesungguhnya Nabi SAW tidak pernah menolak (pemberian) minyak wangi.” [Riwayat Al-Tirmidzi (2789)]


Perbuatan Nabi ini lalu diikuti oleh Anas sehingga menjadi kebiasaannya. Ibnu Battal menyebut bahawa Nabi SAW tidak menolaknya kerana ianya ada satu kelaziman para Malaikat ketika ingin bermunajat.

Secara ringkasnya hadith ini bermaksud, jika ada pemberian hadiah yang elok yang diberikan kepada kita maka tidak seharusnya untuk ditolak.

Kesimpulannya, status hadith tersebut adalah hasan. Inilah yang dinyatakan oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani dan sebahagian ahli hadith. Yang dimaksudkan adalah pemberian-pemberian ini ada ketika bertandang ke rumah orang lalu ditawarkan maka tidak sepatutnya ditolak kerana itulah satu bentuk tuan rumah memuliakan tetamu.

Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita semua. Wallahu’alam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media