131 Warga Kuala Nerus Bantu Unit Tabung Darah HSNZ

Posted on Tuesday, April 21, 2020 | 4/21/2020



Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 21 April - Kira-kira seramai 131 orang warga Kuala Nerus telah membantu menderma darah sempena Program Derma Darah yang dianjurkan oleh Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), baru-baru ini.

Menurut salah seorang peserta, Muzakir Mohamad yang juga kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading, program tersebut merupakan aktiviti yang sangat wajar diadakan untuk membantu Unit Tabung Darah HSNZ.


"Kita sedia maklum bahawa sekarang Unit Tabung Darah HSNZ menghadapi masalah kekurangan bekalan darah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan program ini dapat memudahkan orang awam untuk menderma darah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita pada program tersebut di Kompleks Tarbiyyah at-Taqwa, Batu Enam, Kuala Nerus yang bermula pada jam 8 pagi hingga 3 petang.

Seramai 189 orang peserta mendaftarkan diri sebagai penderma tetapi hanya 131 orang sahaja daripada pelbagai jenis latar belakang, lelaki dan wanita yang layak selepas disaring.


Program itu merupakan anjuran bersama antara Dewan Pemuda PAS dan Jabatan Amal Malaysia Kawasan Kuala Nerus.

Turut hadir, Ketua Unit Tabung Darah HSNZ, Dr. Mohd Muhaimin Kambali dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Nerus, Ustaz Riduan Abu Bakar.



Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 4/21/2020

0 comments:

Loading...