131 Warga Kuala Nerus Derma Darah



Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 18 April –Menyedari bekalan darah di negeri ini sentiasa berkurangan, seramai 131 orang warga Kuala Nerus telah menderma darah dalam Program Derma Darah yang dianjurkan oleh Unit Tabung Darah Hosital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.

Program ini juga merupakan anjuran bersama antara Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Jabatan Amal Malaysia Kawasan Kuala Nerus.

Menurut salah seorang daripada peserta, Muzakir Mohamad berkata, program tersebut merupakan aktiviti yang wajar diadakan kerana ia dapat membantu Unit Tabung Darah HSNZ dan juga mereka yang memerlukan darah sekiranya berlaku kecemasan.


Katanya lagi, program derma darah juga mampu mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat kerana dengan menderma darah ia bukan sahaja dapat membantu pesakit yang memerlukan tetapi juga dapat menjaga kesihatan si penderma.

"Kita sedia maklum bahawa sekarang Unit Tabung Darah HSNZ menghadapi masalah kekurangan bekalan darah kerana Perintah Kawalan Pergerakan dan program seperti ini dapat memudahkan orang awam untuk menderma darah.

“Program ini ialah aktiviti yang sangat wajar diadakan kerana ianya dapat membantu Unit Tabung Darah HSNZ," ujar beliau sewaktu dihubungi, semalam.

Program Derma Darah ini berlangsung di Kompleks Tarbiyyah at-Taqwa, Batu Enam, Kuala Nerus yang bermula pada jam 8.00 pagi hingga 3.00 petang.

Turut hadir, Ketua Unit Tabung Darah HSNZ, Dr. Mohd Muhaimin Bin Kambali dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Nerus, Ustaz Riduan Abu Bakar.

Seramai 189 peserta yang mendaftarkan diri sebagai penderma tetapi hanya 131 orang sahaja layak selepas disaring yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, lelaki dan wanita.



Sumber: teganukita.net