2,500 Kg Ikan Untuk Warga Seberang Takir



Oleh : Hailmey Mansor

KUALA NERUS, 22 April -Sebanyak 2,500 kilogram (Kg) ikan diagihkan kepada 19 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir bagi meringankan beban penduduk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19.

Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab berkata pemberian ikan ini sebagai tanda ingatan daripada pihaknya yang sentiasa mengambil berat tentang keperluan dan kebajikan penduduk.

"Kita agih ikan ini sebagai tanda sayang buat masyarakat kampung di DUN kita ini dan untuk mengurangkan sedikit beban buat mereka yang terjejas dengan Virus Corona (COVID-19) ini.

"Tidak semua yang dapat,tapi ia cukup membantu buat keluarga yang serba kekurangan dan terkesan,"katanya ketika ditemui media Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat Seberang Takir, hari ini.

Tambahnya, sebanyak 100 Kg ikan diagihkan setiap MPKK dan selebihnya akan diagihkan kepada MPKK yang mempunyai ramai penduduk di bawah pentadbiran mereka.



Sumber: teganukita.net