300 Keluarga PPRT Tidak Dipinggirkan


Oleh: Norekwan Mamat

BESUT, 25 April- 300 keluarga Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) DUN Hulu Besut tidak dipinggirkan daripada mendapat bantuan terkesan akibat wabak COVID-19.

Pegawai Penyelaras DUN Hulu Besut Ustaz Mat Daik Mohamad berkata, mereka menerima sumbangan berbentuk bekalan asas.

"Bantuan bekalan asas ini berupa ayam segar, ikan segar, telur serta beras membolehkan penduduk menambah stok bekalan makanan yang sedia ada," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman ketika menyampaikan bekalan asas di Perumahan PPRT Kampung Darau pada 23 April.


Turut hadir ialah ADUN Hulu Besut YB Haji Nawi Mohamad dan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Perumahan Puan Nor Sophia Azura.

Menurutnya, sumbangan tersebut adalah daripada Pengarah Projek Wandland Metro, Mohd Hairiezan Rasli.

"Alhamdulillah, saya mengucapkan terima kasih kepada penyumbang kerana berbesar hati menyumbangkan bekalan asas kepada penduduk PPRT di DUN ini," kata Mat Daik.

Oleh itu, beliau menyeru kepada orang ramai agar sentiasa patuh pada arahan perintah kawalan pergerakan(PKP).

"Sentiasa mengamalkan kebersihan dan mengelakkan berkumpul ramai-ramai selari dengan arahan kerajaan.

"Kita sepatutnya mengambil manfaat daripada PKP ini untuk melakukan sebanyak mungkin amal ibadah bersama keluarga dibulan ramadan yang tiba," jelasnya.

Justeru itu, beliau menyeru kepada orang ramai agar sama-sama berdoa agar wabak yang melanda dunia ini pulih seperti sediakala.


Sumber: teganukita.net