Anak Terengganu Terjejas Di Luar Negeri Tidak Dipinggirkan


Zulkifli (kiri) ketika mengumpulkan sumbangan untuk diagihkan.

KUALA TERENGGANU, 15 April - Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU) Johor akan menggandakan usaha bagi menghulurkan bantuan kepada anak negeri itu yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wakil PERANTAU, Zulkifli Ibrahim berkata, setakat fasa satu dan dua, pihaknya telah memberikan bantuan kepada lebih 30 keluarga yang layak.

"Ia membabitkan keluarga di daerah Tebrau, Pengerang dan Pasir Gudang yang kebanyakan mereka pekerja kontrak seperti di syarikat berasaskan petroleum.

"Mereka menerima gaji harian, bergantung kepada projek, waktu sekarang banyak projek dihentikan, jadi mereka tiada gaji dan mereka sedikit terbeban.

"Sumbangan yang kita berikan adalah berbentuk barangan keperluan rumah (fasa satu), dan wang ringgit (fasa kedua)," katanya ketika dihubungi media semalam.


Mengulas lanjut, Zulkifli turut mengalukan-alukan kepada anak Terengganu di Johor yang terjejas supaya menghubungi pihaknya bagi mendapatkan bantuan.

"Juga kepada sesiapa yang mempunyai kenalan atau mengenali anak-anak Terengganu  di Johor yang memerlukan, boleh hubungi kami PERANTAU Johor atau saya (Zulkifli) di talian 019-7550778.

"Semoga sedikit sebanyak sumbangan daripada kami dan kerajaan negeri ini dapat memberi manfaat kepada semua," tambah beliau.

Baru-baru ini kerajaan Terengganu mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 untuk disalurkan kepada seluruh anak Terengganu di seluruh Malaysia.




Sumber: teganukita.net