COVID-19 : DUN Tepoh Agih 4,216 Pek Barangan Keperluan


KUALA NERUS, 2 April - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh  telah selesai mengagihkan 4,216 pek barangan harian kepada sebahagian besar penduduk di kawasan terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, agihan melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menyasarkan penduduk yang terjejas pendapatan harian.

"Melalui itu, PKM dan badan bukan kerajaan (NGO) Tepoh Care mengeluarkan sejumlah 2,003 kit bekalan makanan manakala PKM Kuala Nerus mengeluarkan sebanyak 1,306  dan sumbangan pihak luar sebanyak 907.

"Rekod ini hanya agihan melalui pihak MPKK. Manakala sumbangan terus individu perseorangan, NGO dan sebagainya secara langsung kepada penduduk tidak direkodkan oleh pihak kami,"  katanya dalam satu kenyataan semalam.


Menurut beliau, dalam situasi semasa ini, pihaknya akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan semua rakyat berhak mendapat bantuan bekalan makanan kesan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Insya-Allah, jika ada yang masih terlepas pandang dalam situasi ini, pihak MPKK dan PKM DUN Tepoh sentiasa terbuka untuk menerima maklumat dan memproses aduan tersebut sebaik mungkin," katanya.

Tambah beliau, barangan keperluan makanan yang diedarkan melalui penyelarasan bersama pihak MPKK adalah bersumberkan kerajaan negeri.

"Saya juga mengambil kesempatan untuk menasihatkan semua rakyat terutamanya di kawasan DUN tepoh agar berdisiplin bagi memastikan baki PKP dua minggu ini mampu memutuskan rantaian COVID-19," nasihatnya.

Sumber: teganukita.net