COVID-19 : Gelandangan, Kutu Rayau Sekitar KT Dipindahkan

Posted on Wednesday, April 08, 2020 | 4/08/2020




KUALA TERENGGANU, 8 April - Seramai 11 gelandangan dan kutu rayau di sekitar daerah ini yang rata-ratanya berusia 37 hingga 65 tahun telah dipindahkan ke dua lokasi bagi membendung penularan COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata, sembilan daripada mereka telah dibawa ke Pusat Pemulihan dan Kebajikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Marang, termasuk seorang yang disahkan positif dadah (pil kuda).

"Manakala dua orang yang mempunyai penyakit mental telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk pemeriksaan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas melakukan Operasi Pengumpulan Individu Gelandangan dan Kutu Rayau di sekitar Kuala Terengganu, semalam.

Operasi tersebut turut melibatkan JKM, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Jabatan Kesihatan dan Jabatan Amal.


Mengulas lanjut, Hanafiah memaklumkan, hasil operasi, tinjauan serta maklumat daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang ramai, pihaknya mendapati masih ada lagi golongan tersebut yang terlepas daripada operasi yang dijalankan.

"Justeru, menerusi penglibatan agensi-agensi ini, operasi seumpama ini akan dilaksanakan lagi dalam masa terdekat.

"Ia bagi memastikan kesemua gelandangan berjaya dikumpulkan dan mereka akan dijaga dengan baik, kita tidak mahu ada yang tertinggal," tambah beliau.

Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 4/08/2020

0 comments:

Loading...