COVID-19: PKP Dilanjutkan Bermula 15 Hingga 28 April

Posted on Friday, April 10, 2020 | 4/10/2020


Foto Oleh: Bernama

PUTRAJAYA, 10 April - Perintah kawalan pergerakan (PKP) akan dilanjutkan bermula 15 April hingga 28 April bagi mengawal penularan dan memutuskan rantaian wabak COVID19.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebentar tadi dalam Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung di seluruh negara, hari ini.

Beliau berkata, pelanjutan PKP dua minggu ini selaras dengan pandangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya PKP tidak ditarik terlalu awal.

"Atas nasihat Kementerian Kesihatan kerajaan memutuskan untuk melanjutkan PKP selama dua minggu lagi iaitu bermula 15 April sehingga 28 April.

"Pelanjutan tempoh ini dibuat untuk memberi ruang kepada petugas-petugas kesihatan memerangi penularan COVID-19, selain mengelakkan penularan semula wabak ini dalam masyarakat ," ujarnya.

Beliau juga berkata, melalui usaha-usaha yang telah dibuat, kes-kes positif Covid-19 adalah terkawal pada kadar tujuh peratus, iaitu di bawah 'benchmark' 10 peratus yang ditetapkan oleh WHO.

Muhyiddin juga berkata, meskipun unjuran dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang PKP hampir sebulan lalu menyaksikan pengurangan kebolehjangkitan Covid-19, situasi itu tidak boleh diambil mudah.

"Namun begitu, kita tidak boleh mengambil mudah situasi yang sedang berlaku. Penularan wabak ini masih di peringkat pertengahan dan memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan yang berterusan.

"Malah usaha mencegah wabak mesti diperhebatkan lagi bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan termasuk memberi tumpuan khusus kepada kumpulan sasar yang dikenal pasti punca penularan wabak," katanya.

Terdahulu, Malaysia telah menguatkuasakan PKP sejak 18 Mac lalu dan kini bakal memasuki fasa ketiga selepas berakhirnya fasa kedua pada 14 April.



Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 4/10/2020

0 comments:

Loading...