COVID-19: Polis Perketat Sekatan Jalan Raya Di Dungun

Posted on Tuesday, April 14, 2020 | 4/14/2020




Oleh : Adli Mohamad /Asraf Ikhwan

DUNGUN, 14 April - Sekatan Jalan Raya di daerah ini terus diperketatkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu sebagai satu langkah bagi memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi menyekang penularan wabak COVID-19.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, ianya melibatkan 16 'check point' di tiga buah kampung iaitu Tok Kah, Teluk Lipat dan Sungai Buaya

"Manakala tiga sekatan jalan raya kekal beroperasi 24 jam yang diadakan di Kuala Abang, Paka, serta hadapan KFC Dungun.

"Dengan menempatkan anggota polis dengan bantuan tentera dan Rela, kita perkemas sekatan dimana pengguna jalan raya yang memberikan alasan remeh temeh dikehendaki berpatah balik.

"Kecuali yang betul-betul terdesak, kalau alasan tidak munasabah kita akan kenakan kompaun," ujarnya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, hari ini.

Katanya, kompaun yang dikenakan itu bukan bertujuan menganiayai pengguna jalan raya tetapi mahu PKP dapat dipatuhi sepenuhnya apabila telah memasuki fasa ketiga serta tidak dipandang remeh oleh masyarakat.

"Contoh alasan yang diberikan seperti nak beli roti canai, terpaksa ke 'Watson' membeli pencuci muka, ini bukan musim biasa, kalau musim biasa tidak menjadi masalah ini musim PKP.

"Termasuklah alasan semata-mata nak ke bank kerana nak memeriksa kemasukan duit 'Bantuan Prihatin Nasional'  serta ada yang ambil peluang beralasan untuk membaiki kereta apabila berlaku kelonggaran dimana bengkel mula dibenarkan untuk dibuka.

"Sedangkan tiada keperluan untuk bergerak pun kecualilah terlibat dengan urusan yang sangat mustahak, "ujarnya.

Katanya, bagi mengekang pergerakan orang ramai, 'drone' turut digunakan bagi mengesan lorong-lorong tikus serta mengetahui tentang keadaan lalu lintas semasa

Setakat ini katanya, sepanjang PKP dilaksanakan sebanyak 33 kompaun telah dikeluarkan terhadap mereka yang mengingkari perintah berkenaan.

Selain sekatan jalan raya, PDRM katanya turut menjalankan rondaan ke kampung-kampung   bagi memastikan PKP dapat dipatuhi semua pihak.



Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 4/14/2020

0 comments:

Loading...