'GanuShop' Sedang Ditambah Baik


KUALA TERENGGANU, 24 April - Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) sedang menambah baik aplikasi bazar Ramadan atas talian Terengganu, 'GanuShop' ekoran beberapa masalah yang timbul sejak semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, proses tersebut mungkin mengambil masa satu hingga dua hari sebelum ia diyakini mampu beroperasi dengan lancar.

"Usaha menambah baik di peringkat 'provider' sedang giat kita jalankan selepas masalah teknikal dikesan semasa 'fully run test'.

"Kita harap semua peniaga dan pembeli bersabar, insya-Allah kita akan beroperasi mengikut apa yang termampu," jelasnya ketika dihubungi media hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam masa terdekat proses tempahan makanan boleh dilakukan.

"Namun, proses penghantaran mungkin memerlukan inisiatif lain dahulu.

"Saya harap para peniaga boleh mencari alternatif lain dalam dua hari ini yang mematuhi syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum kita selesai baik pulih 'GanuShop'," tambahnya.




Sumber: teganukita.net