Kadar Zakat Fitrah Di Terengganu RM7 Seorang

Foto Oleh: Google


KUALA TERENGGANU, 14 April-Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menetapkan kadar fitrah bagi tahun ini tidak kurang RM7 setiap orang.

Yang Dipertua MAIDAM, Dato’ Osman Muda berkata, kadar fitrah yang ditetapkan dibuat setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Jelasnya, kadar itu bersamaan dengan nilai satu gantang Baghdad atau 2.60 kilogram atau 2.97 cupak beras.

"Pembayaran zakat boleh dibuat secara tunai kepada amil bertauliah, bayaran dalam talian menggunakan aplikasi Snap & Pay menerusi aplikasi ‘Google Play’ dan ‘Play Store’ serta ‘Financial Process Exchange’ (FPX) yang boleh diakses menerusi portal rasmi www.maidam.gov.my.

“Selain itu, pembayar juga boleh menggunakan saluran perbankan Internet yang dilantik oleh MAIDAM. Maklumat berkaitan boleh diperoleh di www.maidam.gov.my,"katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Osman juga berkata pihak MAIDAM menggalakkan umat Islam melaksanakan pembayaran zakat dan fitrah secara atas talian untuk disesuaikan dengan keadaan negara yang dilanda Covid-19 ketika ini.

Osman berkata, pembayar yang tertakluk di bawah arahan kuarantin dinasihati supaya mewakilkan bayaran zakat fitrah dan zakat lain kepada orang lain atau menggunakan aplikasi dalam talian.

Tambahnya lagi, MAIDAM mengenakan peraturan yang ketat ke atas prosedur penerimaan zakat dan fitrah oleh amil pada tahun ini disebabkan larangan PKP yang dikuatkuasakan.

"Para amil dikehendaki mematuhi segala arahan dan peraturan pihak kerajaan dari semasa ke semasa termasuk penjarakkan sosial ketika berurusan dengan pembayar, memakai penutup mulut dan hidung serta tidak berjabat tangan ketika berurusan,"ujarnya.



Sumber: teganukita.net