Kerajaan Terengganu Bayar Elaun 'Runner' Bazar Online

Dr Alias Razak.
KUALA TERENGGANU, 10 April - Kerajaan Terengganu akan membayar elaun khas kepada penghantar makanan di sepanjang Bazar Ramadan 'Online' berlangsung.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak memaklumkan, ia termasuk dengan menanggung caj penghantaran makanan ke setiap rumah yang dibuat 'runner' berdaftar seperti Food Grab.

"Jadi, harga makanan akan kekal pada paras yang sama dan apa yang penting ia tidak membebankan orang ramai.

"Peniaga dan pasar yang ada (berdaftar) akan dikumpulkan dalam satu aplikasi, setakat ini kita ada lebih 1,000 peniaga yang akan dikendalikan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

"Walau bagaimanapun, maklumat dan keputusan rasmi akan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas operasi disinfeksi di Pasar Borong Gong Pauh, di sini hari ini.

Pada 30 Mac lalu, kerajaan negeri telah bersetuju untuk membatalkan penganjuran bazar Ramadan tahun ini kerana dikhuatiri akan menyebabkan virus COVID-19 merebak.

Sehubungan dengan itu, beberapa alternatif termasuk mewujudkan bazar Ramadan 'Online' telah dipertimbangkan bagi mengurangkan bebanan kewangan yang terpaksa ditanggung peniaga.

"Para peniaga disaran untuk mengusahakan pemasaran perniagaan secara dalam talian (online) selain membuat perkhidmatan penghantaran ke rumah untuk sebarang bentuk produk termasuk makanan," tambah beliau.

Sumber: teganukita.net