Kilang Padi Termoden Di Malaysia Beroperasi Hujung April Ini

Dr Azman Ibrahim.
Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 2 April – Sebuah kilang padi termoden bernilai RM25 juta yang telah siap dibina di daerah ini akan mula beroperasi pada hujung April nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Konsortium Kilang Padi PP Terengganu yang berada di bawah selian Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu mempunyai kemampuan untuk menjalankan pemprosesan padi sehingga 400 tan metrik sehari.

Katanya, ia sekali gus dapat menyelesaikan masalah kekurangan kilang padi yang membelenggu pesawah di negeri Terengganu selama ini.

"Kilang ini terletak di Kampung Dalam Oh, Jabi. Saya dimaklumkan bahawa, ini adalah antara kilang padi dengan penggunaan teknologi termoden.

"Sebelum ini, masalah kilang padi yang tidak dapat menampung keperluan pengeluaran setempat menyebabkan padi dari Terengganu terpaksa dihantar ke Kedah untuk diproses.

"Ia melibatkan kos tambahan dari segi pengangkutan dan logistik,’’ katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Tambah Dr Azman, beliau mewakili kerajaan negeri terharu dengan usaha dan peranan yang dimainkan kerajaan Persekutuan.

"Bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu, saya merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta LPP atas usaha bagi memajukan lagi industri padi beras di Terengganu," ujarnya.



Sumber: teganukita.net