Komited Serta Patuh PKP Letakkan Hulu Terengganu Kekal Hebat

Posted on Monday, April 20, 2020 | 4/20/2020


Permandangan Di Kuala Berang


Oleh: Hanif Hamdan

HULU TERENGGANU, 20 April - Rakyat Hulu Terengganu terus komited mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)sejak ia dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19 dan menjadikannya kekal sebagai daerah tunggal yang masih selamat daripada wabak pandemik di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata, ia sekaligus berjaya membuktikan bahawa mereka cukup komited mematuhi PKP yang sedang dijalankan demi mengatasi penularan wabak yang sedang melanda seluruh dunia.

"Saya gembira dengan pematuhan PKP yang berlaku di daerah ini bermula fasa satu sehingga fasa tiga, penduduk daerah ini juga sentiasa diingatkan supaya sentiasa mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

"Walaupun Hulu Terengganu kekal berada pada zon hijau sehingga hari ini, penduduk tetap dinasihatkan untuk keluar hanya jika ada urusan yang penting, untuk menjaga keselamatan semua, agar tidak terdedah kepada bahaya dan dapat memutuskan rantaian wabak ini," ujarnya ketika dihubungi wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu, turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada 'Frontliners' (barisan hadapan) yang terlibat dalam menjaga daerah ini, serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang terus membantu mereka yang terkesan serta memerlukan pelbagai bentuk bantuan.

"Saya sangat menghargai dan berterima kasih atas usaha sama 'frontliners' yang mengerahkan segala kudrat mereka untuk terus bekerja disini.

"Tidak dilupakan juga ucapan terima kasih kepada MPKK yang sentiasa menyalurkan maklumat kepada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) untuk menurunkan bantuan dengan segera," ujarnya lagi.

Tambah Dr Mamad, hampir setiap hari petugas kebajikan dari PKM akan mengagihkan bantuan kepada mereka yang terjejas dan memerlukan bagi meringankan beban yang dialami di sekitar DUN Kuala Berang.

Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 4/20/2020

0 comments:

Loading...