MB Terengganu Beri Keterangan Kepada Polis

Posted on Sunday, April 19, 2020 | 4/19/2020


Ahmad Samsuri di Balai Polis petang tadi.

KUALA TERENGGANU, 19 April - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu hari ini bagi memberi keterangan berhubung pertemuannya dengan  Dato' Seri Ahmad Said semalam.

Perjumpaan di rumah Ahmad Said di Teluk Kalong semalam tular di media sosial selepas didakwa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pertemuan dua mata itu, difahamkan bagi menyelesaikan beberapa isu rakyat dan pentadbiran negeri Terengganu termasuk agihan bantuan COVID-19.

Dalam pada itu, Ahmad Said dalam satu kenyataan hari ini berkata, pertemuan bersama Ahmad Samsuri itu berlaku secara tidak dirancang.

"Kebetulan ketika itu Menteri Besar (Ahmad Samsuri) dalam perjalanan pulang ke Terengganu dan sedang berada di Karak.

"Memandangkan dalam perjalanan satu hala, beliau ingin singgah di rumah saya untuk berbincang beberapa perkara melibatkan urusan rakyat yang perlu diselesaikan," katanya.

Kata bekas Menteri Besar itu lagi, ketibaan Ahmad Samsuri menarik perhatian kumpulan sukarelawan yang ketika itu berada di kediamannya.

"Mungkin disebabkan teruja, secara tak sedar semua yang ada di situ ingin merakam gambar hingga terlupa penjarakan sosial yang perlu dijaga dalam tempoh penguatkuasaan PKP," tambah beliau.




Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 4/19/2020

0 comments:

Loading...