Projek Mega Tanaman Lada Hitam Dibangunkan Di Terengganu

Posted on Wednesday, April 22, 2020 | 4/22/2020


Dr Azman.

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 22 April - Terengganu mensasarkan untuk membangunkan sebuah projek mega berimpak tinggi bagi tanaman lada hitam yang melibatkan tanah seluas 500 hektar di Lembah Bidong, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, menerusi projek tersebut pihaknya menjangkakan akan meraih pelaburan melebihi RM320 juta termasuk pembinaan sebuah kilang pemprosesan.

"Kita juga jangkakan lebih 2,000 peluang pekerjaan mampu dihasilkan dalam tempoh tiga tahun," kata beliau kepada pemberita setelah melawat tapak projek tersebut di Rhu Tapai, di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bukti kejayaan projek seperti itu sudah ada apabila syarikat bertaraf antarabangsa berpengkalan di Amerika Syarikat berjaya membangunkan tanah seluas 20 hektar dengan komoditi lada hitam.

"Setakat ini pokok lada hitam yang berusia tiga tahun telah berjaya menghasilkan sebanyak 3.6 metrik tan lada hitam setahun. Nisbah penghasilan yang lebih tinggi berbanding penanaman lada hitam di tanah berbukit," jelasnya.

Bercakap tentang segelintir masyarakat tempatan yang tidak bersetuju tindakan kerajaan memberikan projek tersebut kepada syarikat luar, Dr Azman menjelaskan bahawa di Rhu Tapai terdapat Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) seluas lebih 500 hektar.

"Ia diberi dalam bentuk pajakan kepada warga tempatan dengan lot seluas antara 10 dan 20 ekar seorang untuk dimanfaatkan.

"Namun akhirnya, kami terpaksa mengambil tindakan menamatkan pajakan lot tanah kerana ia terbiar dan ditumbuhi semak tanpa pdiusahakan melebihi tiga tahun.

"Bayaran sewa yang dikenakan hanyalah RM150 bagi setiap hektar setahun. Kita bagi tanah akhirnya terbiar begitu saja. Dalam masa yang sama, ada rakyat yang dapat tanah dan berusaha. Kelompok ini saya puji," ujarnya.

Katanya lagi, rakyat tempatan tetap diutamakan dalam segala bidang tetapi projek berimpak tinggi yang memerlukan modal ratusan juta memerlukan sebuah organisasi kompeten dan lengkap dalam segala teknologi.

"Kita juga mahu syarikat luar melabur di sini bagi menjana ekonomi negeri dan negara dengan lebih mampan.

"Serta mencipta lebih peluang pekerjaan buat rakyat tempatan, di situ rakyat kita juga beroleh manfaat, banyak perkara baharu boleh dipelajari dalam pertanian," tambah beliau.

Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 4/22/2020

0 comments:

Loading...