Ramadan On Wheels Serikan Petang Puasa

Posted on Tuesday, April 28, 2020 | 4/28/2020


 Petugas Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu membuat hebahan pamatuhan arahan PKP menggunakan unit bergerak.

KUALA TERENGGANU, 28 April- Jabatan Penerangan (Japen)Negeri Terengganu menggunakan pendekatan baharu secara kreatif dan inovasif melalui program ‘Ramadan On Wheels’ (ROW) bagi menyampaikan  tazkirah Ramadan  bermula fasa keempat arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

ROW adalah sambungan daripada program `Info On Wheels’ (IOW)  iaitu hebahan melalui pembesar suara menggunakan kenderaan jabatan atau unit bergerak dengan menjelajah ke seluruh kawasan untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai isu semasa dan terkini tentang pematuhan PKP.

Pengarah Japen Negeri Terengganu, Azahar Ismail berkata, khusus untuk bulan puasa kali ini, pihaknya turut menyediakan audio tazkirah Ramadan selain masih mengekalkan hebahan agar orang ramai sentiasa mematuhi PKP.

Azahar Ismail


Katanya, audio tazkirah itu disediakan oleh Ibu Pejabat Japen Malaysia, Putra Jaya dan tazkirah yang disampaikan oleh penceramah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu berkisar kepada kelebihan bulan Ramadan sebagai bulan yang penuh dengan keberkatan.

`Unit bergerak ini akan berada di kawasan penempatan seperti taman perumahan, rumah pangsa dan kampung bermula jam 5 petang setiap hari sehingga PKP fasa empat tamat kecuali hari cuti.

"Kita ambil kesempatan tersebut apabila sambutan pada kali ini amat berbeza berikutan negara dilanda pandemik Covid-19 yang membataskan pergerakan serta tidak lagi dibenarkan menganjurkan majlis iftar dan berterawih secara berjemaah," ujarnya.

Sempena program itu, Japen Negeri Terengganu turut menyediakan bungkusan juadah berbuka puasa kepada wakil penduduk untuk diagihkan kepada penduduk kampung terutama mereka yang terkesan dengan arahan PKP.

Azahar menambah,  jabatannya telah melaksanakan sebanyak 5318 hebahan di seluruh negeri membabitkan 2005 kawasan bermula fasa pertama PKP hingga ke fasa ketiga.

Pegawai Penerangan Daerah Kuala Terengganu, Ros Naini Arshad menyampaikan juadah berbuka puasa kepada wakil penduduk, Hanafiah Ismail.


Katanya, pada ketiga-tiga fasa itu, pihaknya meminta orang ramai agar mematuhi PKP selain sentiasa berhati hati dengan berita palsu yang tular dalam media sosial.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Kuala Terengganu, Ros Naini Arshad berkata, Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu memulakan program ROW fasa keempat di Kampung Gong Baru, Kuala Terengganu semalam.

Katanya, unit bergerak membuat hebahan agar orang ramai mematuhi arahan PKP dengan mengelilingi kampung dan berhenti di hadapan pasar mini bagi memperdengarkan tazkirah Ramadan.

Beliau berkata, secara tidak langsung, program ROW dapat menghidupkan suasana Ramadan selain menyebarkan maklumat mengenai pematuhan PKP.

Wakil penduduk Kampung Gong Baru, Hanafiah Ismail pula berkata, tindakan Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu dengan menggunakan unit bergerak untuk menyampaikan tazikrah amat dialu-alukan kerana pihak masjid tidak dibenarkan mengadakan akitiviti sepanjang perintah PKP ini.

`Dengan adanya tazkirah yang didengarkan oleh Pejabat Penerangan, sekurang-kurang orang ramai dapat merasai suasana Ramadan walaupun negara sedang dilanda pandemik Covid-19," katanya.



Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 4/28/2020

0 comments:

Loading...