Terengganu Peruntuk RM120,000 Bayar Elaun 'Runner GanuShop

Nurkhuzaini berkata, orang ramai boleh memuat turun aplikasi 'GanuShop' di Play Store bagi mendapatkan juadah berbuka dan bersahur.

KUALA TERENGGANU, 16 April - Kerajaan Terengganu memperuntukan RM120,000 bagi membayar elaun 'standby' kepada 800 penghantar makanan atau 'runner' yang beroperasi di bawah bazar Ramadan atas talian, 'GanuShop'.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, ia melibatkan 25 penghantar makanan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan kesemua daripada mereka akan menerima RM150 seorang untuk bulan Ramadan nanti.

"Bayaran itu tidak termasuk upah yang akan diterima oleh mereka melalui penghantaran pesanan makanan yang dibuat pembeli dalam 'GanuShop' nanti.

"Proses pendaftaran sebagai penghantar makanan akan dijalankan di setiap DUN, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN akan membuat pemilihan selepas permohonan untuk menjadi 'runner' dibuka pada Sabtu atau Ahad (18 atau 19 April) ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran ‘GanuShop’ di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Kata beliau, tempahan makanan akan ditutup pada 12 tengah hari dan penghantaran bermula 3 petang.

Ditanya tentang arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang tidak membenarkan operasi penghantaran melebihi 10 kilometer radius, beliau memaklumkan kerajaan negeri sudah mempunyai perancangan.

"Insya-Allah kita akan mengeluarkan pas khas untuk 'runner GanuShop' supaya mereka boleh bergerak melebihi jarak 10 kilometer sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Persetujuan secara 'verbal' sudah kita perolehi daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM)," jelasnya.

Menurut Nurkhuzaini lagi, sejak permohonan sebagai penjual di aplikasi 'GanuShop' dibuka semalam, lebih 700 peniaga telah mendaftar.

"Lain-lain usahawan yang berminat boleh mendaftar secara atas talian di aplikasi 'GanuShop', sehingga pagi tadi kita telah merekodkan lebih 700 peniaga.

"Setakat ini kita masih belum menetapkan tarikh akhir pendaftaran tersebut, tetapi kita mahu selesaikan proses itu sebelum 1 Ramadan," kata beliau.
Harga dan kebersihan makanan pula akan sentiasa dipantau pihaknya dan agensi persekutuan.

Tambahnya, aplikasi 'GanuShop' merupakan bazar Ramadan atas talian Terengganu yang dibangunkan kerajaan negeri dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

"Aplikasi ini juga mempunyai penghantar makanan premium seperti Grab Food dan Food Panda, tetapi caj penghantaran yang dikenakan mereka sudah pasti lebih tinggi berbanding kita.

"Orang ramai boleh memilih sama ada mahukan penghantar makanan premium atau yang di bawah kita iaitu 25 orang di setiap DUN itu," ujarnya

Sumber: teganukita.net