'Xray dada teruk, kami syak suami puan dijangkiti Covid-19' - Isteri hamil terkelu dengar penjelasan doktor


Walaupun pelbagai kempen yang dijalankan oleh pihak berkuasa mengenai isu bahaya merokok, namun kempen kesedaran itu seperti tidak diendahkan oleh perokok.  Hanya memikirkan kepuasan, kesihatan diri dan orang-orang disekeliling tidak diendahkan.

Di kala masyarakat dunia kini berdepan dengan ketakutan virus Covid-19, perokok masih lagi menghirup dan menghembus sedangkan menurut doktor ini, paru-paru seorang perokok adalah syurga bagi virus ini. 

Doktor ini turut berkongsikan kisah pesakitnya yang disyaki positif Covid-19, namun pesakit ini tidak mempunyai kontak rapat mahupun sejarah penyakit. Lagi menyedihkan apabila isteri pesakit itu sedang sarat mengandung.

DOKTOR, pesakit bilik dekon spo2 drop!!”

Seperti yang dijangka. Aku tak tangguh terus berlari dengan gaya Usain Bolt.

“Prepare for intubation!”

“Encik, oksigen dalam badan kurang sangat ni. Kita akan bantu dengan masukkan tiub pernafasan. Sebelum tu kita akan bagi ubat tidur. Encik ikut saya mengucap ya”

“Ashadu Alla Ilahaillah Wa Ashadu Anna Muhammadurasullulah...”

Kalimah syahadah dibisikkan ke telinga pesakit sebelum ubat tidur dimasukkan. Perlahan. Tenang. Yang berada disitu mengharapkan rahmat dan bantuan Allah saja semata-mata. Kita hanya mampu berusaha. 

Pesakit ini masih muda. Baru 34 tahun. Tiada sejarah penyakit cuma seorang perokok tegar. Tiada kontak rapat. Dikejarkan ke hospital kerana sesak nafas.

Pada mulanya diberi bantuan oksigen dari luar, nampak kandungan oksigen dalam badan masih stabil tetapi xray dada teruk. Kami syak kemungkinan besar pesakit dijangkiti covid-19.

Covid-19 akan melekat di ACE2 reseptor di paru-paru dan perokok mempunyai ACE2 reseptor yang sangat tinggi. Mereka akan mengalami jangkitan yang teruk jika dijangkiti covid-19.

Semakin banyak ACE2 reseptor, semakin banyaklah virus ini memasuki badan. Dalam masa yang singkat, pesakit akan sesak nafas dan keadaan ini dipanggil ARDS (Acute Respiratory Distress Syndrome).

“Puan ni isteri kepada En. K?”

“Ya, saya.”

“Saya doktor yang merawat suami puan. Kandungan oksigen dalam badan suami puan tadi terlalu kurang. Kami terpaksa masukkan tiub pernafasan.”

“Ya Allah. Boleh saya jumpa dia sekejap doktor”

Kelihatan sesekali dia menggosok perutnya yang sedang sarat mengandung.

“Maaf puan, tidak dibenarkan sesiapa pun jumpa pesakit. Kami syak suami puan dijangkiti Covid-19.”

Terus kelu, tak tertahan-tahan air matanya menderu-deru meleleh di pipi. Antara memikirkan untung nasib suaminya dan keadaan hari depan. Bagaimanalah mahu menghadapi situasi ini dalam keadaan sarat mengandung.

Benar, bukan mudah untuk berhenti. Bukan tak mahu berhenti. Dah berkali cuba tapi gagal. Terus kecewa dan berhenti untuk cuba lagi. Tapi ingatlah yang kita ada isteri yang memerlukan kasih sayang seorang suami, ada bakal anak kecil yang dahagakan kasih sayang seorang ayah dan kita juga ada ibu bapa yang rindukan kehadiran seorang anak.

Kita perlu korbankan rasa kecewa dan putus asa untuk cuba terus berhenti merokok. Kita perlu korbankan rasa ketagih pada rokok. Kita perlu berkorban demi orang-orang yang paling kita sayang.

Kehadiran wabak ini sepatutnya dapat menginsafi semua perokok. Rebutlah peluang untuk berhenti merokok. Inilah masanya. Ingat, paru-paru perokok adalah syurga buat virus ini.

Minta tolong kongsikan cerita ini pada yang masih merokok agar mereka berwaspada dan diberi kekuatan untuk berhenti merokok. Boleh follow saya, Ahmad Samhan dan set See First supaya tak tertinggal cerita lebih menarik yang boleh dijadikan teladan bersama.

Rokok itu hanya nikmat seketika tapi derita keakhir usia-

Sumber: Dr. Ahmad Samhan


Sumber : thereporter.my