Ziarah Mahabbah Sinari Nasib Insan Yang Memerlukan- Dr Khairuddin



Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 24 April - Dalam keceriaan menyambut bulan penuh keberkatan ini, masih ada insan yang terpinggir. Bagi mereka Ramadan sama sahaja seperti hari biasa.

Yang membezakan mereka hanyalah niat puasa kerana berlapar di siang hari telah menjadi rutin dalam kehidupan mereka untuk meneruskan kehidupan ini.

Melihat akan situasi ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr Khairuddin Aman Razali merangkap Ahli Parlimen Kuala Nerus, telah tampil dalam membela nasib golongan ini di DUN Seberang Takir, siang tadi.

Menurut Dr. Khairuddin, program ini akan diteruskan dari semasa ke semasa di sepanjang bulan Ramadan ini bagi meringankan beban mereka yang terkesan dengan penularan wabak Covid 19.

“Ziarah seperti ini akan diteruskan setiap minggu dan kita akan ziarah setiap DUN di dalam Kawasan Kuala Nerus.

“Manakala ketika saya berada di Kementerian, aktiviti ini akan diteruskan oleh Sekretariat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus bagi memastikan tiada rakyat yang ketinggalan," ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sewaktu ditemui semasa program Ziarah Mahabbah Ahli Parlimen Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab dan Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang terlibat.

Sementara itu, tiga buah keluarga yang diuji oleh Allah dengan pelbagai penyakit telah diziarahi oleh Dr Khairuddin di Kampung Batin, Taman Permint Perdana dan Kampung Hulu Takir.

Beliau turut menghulurkan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan kepada mereka yang diziarahinya.



Sumber: teganukita.net