123 Pasukan Khas Pantau Pematuhan SOP Aidilfitri Di Terengganu

Foto Oleh: Harian Metro

KUALA TERENGGANU, 23 Mei -
Polis Terengganu akan memantau aktiviti sambutan Hari Raya Aidilfitri di negeri ini dengan 123 pasukan khas terdiri daripada 531 anggota dan pegawai daripada polis, tentera, Pertahanan Awam dan RELA.

Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik berkata pemantauan ini dilaksanakan agar sambutan Aidil Fitri di negeri ini tidak melanggar Prosedur Standard Operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan.

"Ia bertujuan memastikan sambutan tidak melebihi 20 orang di dalam setiap rumah dipatuhi sepenuhnya bagi mengelak risiko penularan Covid-19.

"Bagi menguatkuasakan peraturan, cuti hampir 3 ribu 200 anggota dan pegawai polis di negeri itu dibekukan sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB ini," katanya dalam satu siaran berita Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Beliau juga meminta penduduk Terengganu sentiasa mematuhi arahan dan tidak melakukan perjalanan merentas negeri tanpa kebenaran.

Bagaimanapun, mereka masih boleh bergerak merentas daerah dan sentiasa mengambil serius langkah pencegahan Covid-19.



Sumber: teganukita.net