Ahli Parlimen Kemaman Jelajah Serah Bantuan


Oleh: Alfian Mamad

KEMAMAN, 8 Mei - Seramai 470 orang masyarakat di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menerima bantuan sempena Jelajah Ziarah Kasih Ramadan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid di sini semalam.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman, Mohd Khairuddin Ahmad ketika ditemui berkata, jelajah tersebut merupakan siri jelajah yang kedua selepas DUN Chukai kelmarin.

"DUN Kijal adalah siri jelajah yang kedua Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kemaman selepas DUN Chukai kelmarin dengan seramai 400 orang penerima bantuan.


"Kami turun ke setiap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di setiap DUN dalam Parlimen Kemaman dalam siri jelajah ini yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan dengan semua MPKK di samping mengurangkan sedikit beban perbelanjaan penerima di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh mengucapkan terima kasih dan bersyukur dengan sumbangan yang diberikan oleh Ahli Parlimen Kemaman.

"Alhamdulillah, kami ucapkan jutaan terima kasih kepada YB (Yang Berhormat) Che Alias Hamid kerana kepekaan beliau terhadap masalah rakyat di kawasan beliau.

"Mudah-mudahan apa yang dilakukan ini dapat melegakan sedikit kegusaran penerima dalam menjalankan ibadah puasa seterusnya mendapat keberkatan dari Allah," ujar beliau.

Turut hadir, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kijal, Wahab Ahmad dan Setiausaha Majlis Tindakan DUN (MTD) Kijal, Adnan Mohamad.

Siri Jelajah Ziarah Kasih Ramadhan itu akan diteruskan ke dua DUN lagi yang berbaki di Parlimen Kemaman iaitu DUN Kemasik dan Air Putih dalam masa terdekat.

Sumber: teganukita.net