Awas, Jika Tidak Patuh PKPB!

Pekerja pasaraya melakukan pemeriksaan suhu ke atas pelanggan yang datang.


KUALA TERENGGANU, 4 Mei- Kerajaan Terengganu mengingatkan rakyat negeri itu supaya mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat lalu dengan sebaik mungkin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak menyatakan, keputusan kerajaan negeri menerima pakai PKPB tertakluk kepada perkembangan semasa dan boleh ditarik balik sekiranya didapati tahap pematuhan kepada ‘Standard Operating Procedure’ (SOP) rendah.

"Walaupun PKPB ini dilaksanakan, hakikatnya kita masih berada dalam PKP Fasa keempat dan kehidupan seharian kita tetap akan berlangsung dalam suasana norma baharu.
Dr. Alias.

"Kami berharap, kesedaran serta kawalan kendiri setiap individu dapat dioptimumkan dan perkara-perkara berkaitan  amalan penjarakan social (social distancing), keluar rumah hanya bila perlu, kerap membasuh tangan dengan sabun atau ‘sanitizer’ dan memakai ‘facemask’ hendaklah terus diamalkan," tulisnya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan melalui laman Facebooknya, semalam.

Jelasnya, tempoh PKPB bermula semalam menyaksikan beberapa kelonggaran diberikan berbanding berbanding PKP Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3.

"Antara kelonggaran itu termasuklah kebenaran beroperasi untuk premis-premis tertentu sebagaimana yang disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertujuan merancakkan semula sektor ekonomi sekaligus membantu rakyat keseluruhannya yang terjejas akibat larangan yang dikenakan sebelum ini.

"Selain itu, kelonggaran dari segi waktu operasi juga diberikan kepada premis perniagaan untuk beroperasi sehingga selewat-lewatnya jam 10.00 malam berbanding sebelum ini yang terhad sehingga jam 8.00 malam sahaja," katanya.

Stesen Minyak yang beroperasi dari jam 7.00 pagi hingga 8.00 malam sebelum ini turut dibenarkan memanjangkan tempoh operasi tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).



Sumber: teganukita.net