Kerajaan Negeri Bantu Bekas Jurugambar Utusan Malaysia Derita Sakit kronik

Posted on Monday, May 11, 2020 | 5/11/2020




KUALA TERENGGANU, 11 Mei - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, itu adalah gambaran nasib menimpa bekas jurugambar Utusan Malaysia, Azlan Bahrum, 36, yang menderita sakit gout kronik membuatkan semua sendinya bengkak akibat lebihan asid urik.

Hidup Azlan yang berasal dari Perak tak ubah seperti sudah jatuh ditimpa tangga apabila turut dikesan mempunyai masalah buah pinggang tahap tiga ke tahap empat.

Beliau juga sudah tidak mampu bangun dan berjalan seperti biasa sejak 10 hari dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hanya terlantar di katil dan bergantung kepada isterinya Norhaspida Yatim, 34 yang bekerja sebagai wartawan Sinar Harian.

Azlan yang kini terlantar kerana sukar bergerak dan menguruskan diri kerana sendinya yang makin membengkak, mendapat perhatian dari pelbagai pihak termasuk daripada kerajaan negeri.


Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat berkata pihaknya akan melihat segala keperluan dan bantuan yang diperlukan oleh Azlan bagi meringankan beban beliau.

"Kita akan lihat apa yang oleh Azlan dan cuba membantu setakat yang mampu bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh isteri selepas beliau terlantar sakit.

"Hari ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu meluluskan serta-merta bantuan bulanan yang akan mula dibayar bulan hadapan ," katanya ketika menziarahi Azlan di Pangsapuri Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir,  EXCO Kerajaan Negeri Terengganu merangkap ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah JKM Terengganu, Zuhami Omar.



Sementara itu, Hanafiah dan Wan Sukairi turut menyampaikan  sumbangan barangan dapur serta wang tunai bagi menampung keperluan mereka seisi keluarga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban mereka sekeluarga boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 114076071284 atas nama Azlan Bahrum atau Norhaspida Yatim (156057287629).



Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 5/11/2020

0 comments:

Loading...