Laungan Takbir Mengusik Kalbu


HULU TERENGGANU, 23 Mei - Buat pertama kali kedatangan Aidilfitri disambut dalam suasana berbeza ekoran penularan wabak Covid-19 turut mencatatkan sejarah tersendiri bagi Imam yang melaungkan takbir di malam hari raya.

Imam Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang, Muhammad Syafiqsabri Mohamad, 36, beliau tidak dapat menahan perasaan ketika bertakbir dengan hanya bertemankan beberapa makmum berbanding sebelum ini dengan kehadiran orang ramai ke masjid.

"Tak boleh nak cerita macam mana perasaan saya ketika melaungkan takbir, rasa sebak dan hampir menitis air mata kerana itulah pertama kali dalam sejarah masjid kosong tanpa kehadiran makmum dan hanya beberapa orang sahaja yang bersama saya ketika itu.

"Setelah sebulan berpuasa, takbir raya akan berkumandang. Cuma kali ini tiada sahutan takbir beramai-ramai di masjid dan surau, tiada juga saf berasak-asak menunaikan solat sunat berjemaah pagi raya," katanya ketika ditemui di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang hari ini.

Beliau berkata pegawai masjid dan surau yang diarahkan bertugas itu terhad kepada tiga orang sahaja dibenarkan melaksanakan di masjid dan surau masing-masing mengikut tentatif ditetapkan.

Terdahulu, tiada solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau seluruh Terengganu tahun ini, sebalik umat Islam negeri ini diminta menunaikannya bersama ahli keluarga masing-masing di rumah.

Keputusan diumumkan Jabatan Mufti Terengganu menerusi garis panduan sambutan Aidilfitri di negeri ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.



Sumber: teganukita.net