Operasi Taska Di Terengganu Ditangguhkan

Che Adam.

KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Terengganu mengambil langkah untuk menangguhkan sementara operasi Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Left Kol Che Adam A. Rahman berkata, keputusan itu dibuat bagi meneliti beberapa aspek tertentu dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum kebenaran diberi.

"Keputusan mesyuarat pada hari ini masih belum membenarkan taska beroperasi atas beberapa perkara.

"Kita tangguhkan dahulu sehingga pihak berkuasa negeri memaklumkan status pengoperasian taska pada satu tarikh nanti," ujar beliau ketika dihubungi media hari ini.

Semalam, Sinar Harian yang memetik kenyataan Pemangku Pengerusi Persatuan Pendidik Taska Swasta Negeri Terengganu (PPTNT), Ummi Rahimah Hassan berkata, sebanyak 12 Taska dijangka mula beroperasi di Terengganu bermula esok selepas ia ditutup sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Setakat ini, ada dalam 12 buah Taska telah bersedia untuk kembali beroperasi pada 1 Jun nanti.

"Selebihnya ada yang memilih untuk mula operasi semula pada 8 dan 14 Jun," kata Ummi sebagaimana dilapor Sinar Harian.




Sumber: teganukita.net