Warga Emas Mengesot 100 Meter Cari Keperluan Diri

Dr Azman menyapa Pak Jusoh semasa menziarahi penduduk di kampung berkenaan.


Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 21 Mei – Seorang warga emas, Jusoh Abas atau Pak Jusoh, 70, nekad mengesot sejauh 100 meter untuk membeli keperluan untuk dirinya kelmarin.

Derita bapa kepada seorang anak itu bermula apabila dia mengalami demam selama seminggu di awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini dijaga oleh adik dan saudara terdekat kerana anaknya bekerja di Kuala Lumpur.

Kata Jusoh, kaki yang kurang sempurna dan berkudis turut menyukarkannya untuk memakai selipar semasa ke luar rumah.

"Saya keluar untuk mencari keperluan diri tanpa pengetahuan adik, pada awalnya adik saya dah pergi, tetapi saya mahu melihat sendiri barang yang saya pesan itu di kedai.

"Itu kali pertama saya keluar rumah selepas tidak mampu berjalan dengan sempurna," katanya semasa menerima kerusi roda semalam.

Pak Jusoh terharu menerima 'kenderaan' baharu

Walau bagaimanapun, tindakan penduduk Bukit Jeruk itu disedari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim yang menyapa Pak Jusoh semasa menziarahi penduduk di kampung terbabit.

"Saya pergi kedai depan rumah sahaja. Dalam perjalanan balik, kebetulan pula terserempak dengan Dr Azman Ibrahim sewaktu dia ziarah orang kampung sebelah," jelasnya.

Menyedari beban yang ditanggung Pak Jusoh, Dr Azman segera menyumbang kerusi roda semalam bagi memudahkan bekas peserta Felda Kerteh 6 terbabit melakukan aktiviti harian.

"Kerusi roda memang sepanjang masa ada stok di Pejabat ADUN. Ada yang memerlukan kita terus hantar tanpa apa-apa kerenah birokrasi.

"Semalam dapat kerusi roda. Hari ini Penghulu Kampung hantar sumbangan lain, tak perlu isi apa-apa borang pun untuk mohon bantuan ini kerana semua tahu dia layak," jelasnya.

Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Bukit Jeruk turut memberi sumbangan keperluan harian.

Tambah Dr Azman, Pak Jusoh sangat teruja apabila menerima bantuan tersebut dan kita akan terus membantu orang-orang yang kurang berkemampuan.

"Sebelum ini dia terpaksa mengesot untuk melakukan apa-apa aktiviti, dia sedikit bebas dan mudah bergerak, segala keperluan dia juga kita bantu" jelasnya.






Sumber: teganukita.net