10 Kisah Hidup Allahyarham Tok Guru Nik Aziz Yang Mungkin Kita Tidak Tahu

Posted on Friday, June 26, 2020 | 6/26/2020



Hari ini Ohmedia tertarik untuk kongsikan pula kepada pembaca tentang seorang insan yang sangat dihormati sewaktu beliau hidup iaitu Allahyarham Datuk Nik Aziz atau lebih senang dipanggil Tok Guru Nik Aziz.

Allahyarham Tok Guru Nik Aziz telah meninggal dunia 5 tahun yang lalu pada 12 Februari 2015 yang telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka, Kota Bharu Kelantan. Ohmedia percaya, mesti ramai yang merindui insan ini yang selalu memberikan peringatan sewaktu hidupnya dan banyak menyumbang dalam aspek politik negara.

Buat mereka yang masih tidak mengenali siapa TGNA, Ohmedia ingin kongsikan 12 perkara tentang Tok Guru Nik Aziz.


Biodata YAB Dato' Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan pada 10 Januari 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kelantan dan dibesarkan di sana. TGNA merupakan anak kedua dari sepuluh orang adik-beradik.

Diajar ilmu agama Islam sejak dari kecil


Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.

Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.

Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.

Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.

Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.

Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.

Belajar di Pakistan & Mesir


Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.

Mendirikan sekolah agama di atas tanah wakaf

Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka.

Beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin pada sebelah pagi dan petang. Manakala, sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.

Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.

Mulakan langkah dalam dunia politik


Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.

Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.

Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil.

Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri kuliah dan ceramah.

“Beliau adalah seorang pemimpin yang disegani dan dihormati oleh semua kaum kerana hujah-hujah beliau dapat mengangkat politik perkauman sehingga dapat melangkaui pertelingkahan di kalangan rakyat Malaysia dengan menunjukkan nilai-nilai agama Islam adalah konsep universal yang akan membawa manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia” – Ahli Parlimen Batu, Tian Chua

Petah berhujah ketika sebarkan ilmu


Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat pengajian yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.

Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu lagi.

Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.

Tetap sampaikan dakwah walau bergelar Menteri Besar


Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.

Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Anbia’.

Dikurniakan 10 Anak


Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.

Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.

Berusaha elak guna duit kerajaan untuk kepentingan diri


Mengaku bersolat dalam keadaan gelap apabila berada di dalam pejabatnya kerana tidak mahu menggunakan duit kerajaan untuk kepentingan dirinya.

Sambung mengaji jika tidak berpolitik


Berikut adalah sedikit perkongsian tentang diri seorang insan yang cukup hebat. Ohmedia juga tertarik dengan satu soalan yang diberikan kepada TGNA oleh seorang individu yang berbunyi, "Kalau Tuan Guru tidak menjadi Menteri Besar atau ahli politik, apakah yang akan Tuan Guru lakukan barangkali?"

TGNA menjawab, “Ambo suka mengaji. Jika tidak berpolitik ambo nak sambung mengaji. Tetapi mengaji dan politik payah nak buat bersama. Sepertinya kena memilih satu antara dua.”

OHMEDIA: KITA DOAKAN AGAR TGNA DITEMPATKAN BERSAMA-SAMA ORANG BERIMAN DAN MENGHARAPKAN AGAR MALAYSIA TERUS DIBERIKAN SEORANG PEMIMPIN YANG TEGUH IMANNYA DALAM MEMIMPIN NEGARA.

Kredit: Saifulislam.com | Wikipedia

+ Baca respon pembaca yang rindu dengan TGNA di Facebook Oh! Media.




Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 6/26/2020

0 comments:

Loading...