Ameerah Sasar Golongan Ibu Muda



Oleh : Syazwana M.Zohir

KUALA TERENGGANU, 12 Jun –  Ameerah Terengganu mensasarkan untuk membantu golongan yang terjejas kerana COVID-19 terutamanya golongan ibu-ibu muda di negeri ini.

Pengarah Ameerah negeri, Zuraida Md Noor berkata terdapat beberapa program yang telah dirangka dan disasarkan kepada kumpulan wanita muda untuk membantu mereka meneruskan kehidupan.

Katanya, terdapat tiga bidang pengkhususan mengikut kluster tertentu yang telah dirancang dan akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Kluster pertama, kita namakan sebagai Kluster Kerjaya dan Kemahiran. Fokus utama adalah bagi menyediakan peluang latihan bersama agensi kerajaan yang berkaitan bagi bidang pertanian bandar, pembuatan makanan, salon dan spa, ‘home services’, jahitan, ‘runner’, ‘personal shopper’ serta barangan siap.

“Kluster kedua ialah Kluster Kebajikan, Kesihatan dan Kaunseling. Melalui kluster ini akan diadakan segmen kesedaran kesihatan wanita melalui kempen berbentuk maya di samping menjalankan aktiviti ziarah berkebajikan bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh satu-satu keluarga,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika di temu ramah oleh juruhebah stesen radio Manis FM disini, semalam.

Zuraida yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu turut menyatakan bahawa kluster yang ketiga adalah mengenai Keagamaan dan Kerohanian, yang berperanan untuk mengadakan kelas agama berkonsepkan tuisyen.

“Pelaksanaan tuisyen ini akan diadakan dalam perkumpulan kecil selain melalui medium panggilan video bagi memastikan Tatacara Prosedur Operasi Standard dipatuhi.

“Alhamdulillah, kita mempunyai ahli Ameerah yang mempunyai tauliah untuk mengajar dan kita akan gunakan mereka sebagai tenaga pengajar untuk memberi didikan asas fardu ain kepada wanita muda,”tambahnya.

Beliau juga berharap agar program yang dirancang ini akan menerima sambutan yang menggalakkan daripada kumpulan sasaran.

Sebagai pengenalan, Ameerah merupakan satu badan yang berperanan bagi memberi kesedaran politik kepada generasi muda serta bertindak sebagai ‘duta kecil’ kerajaan negeri.

Sumber: teganukita.net