Azam Kunci Capai 11A SPM

Sarah (berbaju hitam) bersama ibunya menerima penghargaan daripada ADUN Wanita dan Dr. Farhaana.

Oleh : Akid Hafriz

KUALA TERENGGANU, 21 Jun- "Hanya perlukan keazaman yang tinggi," kongsi pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek, Sarah Syazana Ali, 18, akan rahsia kejayaannya memperoleh gred A dalam keseluruhan mata pelajaran pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu.

Jelasnya, azam yang kuat dapat mengatasi kemalasan ketika mengulang kaji pelajaran terutama untuk menghadapi peperiksaan penting sekali gus membantu diri lebih fokus dalam melakukan sesuatu.

"Kadang-kadang kita memang ada rasa culas ketika mengulang kaji, tapi ia boleh diatasi apabila kita tanya diri kita kenapa kita nak berjaya? Dan kenapa kita nak 'straight A'.

"Sekiranya kita gagal dalam mata pelajaran tertentu, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh hingga berjaya," katanya berharap dapat mencapai cita-citanya menjadi seorang doktor agar dapat berbakti kepada masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.

Beliau berkata ketika Program Ziarah Pelajar Cemerlang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Mohd Noor di sekitar Dun Batu Buruk ke kediamannya, baru-baru ini.

Program yang turut dihadiri oleh isteri ADUN Batu Buruk, Dr. Farhaana Husainy Hasbullah dan pihak Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk itu telah menngunjungi sembilan buah rumah pelajar cemerlang bagi menyampaikan hadiah cenderahati kepada mereka.

Lawatan itu merupakan sebahagian penghargaan kerajaan negeri kepada para pelajar berkenaan dan sebagai pembakar semangat generasi muda Terengganu untuk terus mencipta kejayaan.

Sumber: teganukita.net