Genap Sebulan, Misteri Kehilangan Warga Emas Belum Terungkai

Pak Malik (kiri) bersama isteri. Foto oleh - Ahmad Ezani Razali.


KEMAMAN, 20 Jun - Misteri kehilangan seorang warga emas, Abdul Malik Daud, 67, sejak 20 Mei lalu yang masih belum terjawab meskipun operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara besar-besaran dijalankan hari ini.

Abdul Malik atau Pak Malik yang turut menghidap penyakit Parkinson dikatakan keluar dari rumah dan tidak dapat dikesan.

Pegawai Medan Operasi Mencari, ASP Mohd Khairi Abdullah berkata, SAR telah dilakukan ke setiap kawasan sekitar kampung terbabit dengan melibatkan 152 anggota termasuk penduduk kampung.

"Kita pecahkan kepada enam lokasi di kawasan sekitar dengan 10 pasukan namun hingga saat ini kita masih gagal mengesan Pak Malik.

"Dalam masa yang sama pihak kami juga telah mengwar-war kepada orang ramai dan media dengan harapan ada maklumat terbaharu berkait kehilangan ini," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas SAR di sini hari ini.

Hanafiah (dua dari kanan) bersama pasukan SAR.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Hanafiah Mat mengatakan, kerjasama orang ramai dalam merungkai kehilangan warga emas terbabit sangat diperlukan.

"Hari ini sudah masuk ke hari 31 Pak Malik hilang, operasi mencari giat dijalankan selama seminggu sebelum ini dan hari ini kita buat operasi secara besar-besaran bermula 8 pagi hingga 12.30 tengah hari tadi.

"Bantuan daripada semua bagi membantu merungkai kehilangan ini juga diperlukan sesiapa yang mempunyai maklumat diminta untuk tampil memberi kerjasama.

"Semua pihak berkuasa bersiap siaga jika ada maklumat terbaharu untuk mencari Pak Malik," ujar ADUN Chukai itu.
Wajah sayu Hazizah, menanti suami.

Pada kejadian jam 5 pagi 20 Mei lalu, Pak Malik dilaporkan hilang dari kediamannya di Felda Neram 2, Blok 3 Peringkat 1, Cheneh Baru.

Kehilangan tersebut disedari oleh isterinya, Hazizah Jusah, 64, sebaik sahaja bangun untuk bersahur.

Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di talian 09-8592222



Sumber: teganukita.net