Golden Pharos Berhad Berjaya Lunas Pinjaman 15.3 Juta

Dato' Nadza bersama CEO Terengganu Inc., Dr. Wan Rudiman menunjukkan perjanjian yang ditandatangani.


KUALA TERENGGANU, 4 Jun - Golden Pharos Berhad (GPB) berjaya menyelesaikan pembayaran penuh hutang berjumlah RM15.3 juta kepada Terengganu Inc Sdn Bhd (TI) melalui satu kaedah inovatif yang telah dipersetujui bersama oleh kedua-dua syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif GPB, Dato' Nadza Abdul menjelaskan bahawa kaedah pembayaran menerusi penerbitan saham keutamaan boleh tebus sebanyak 12 juta unit saham itu memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak.

"Kita memang berpendapat langkah ini sangat efektif untuk kedua-dua syarikat di mana liabiliti akan turun, 'net asset' (aset bersih) akan bertambah dan 'expected credit lost' juga akan menurun.

"Semua aspek ini akan dinilai oleh juru audit dan pemegang saham yang mana saya pasti mereka akan menyambut baik langkah ini dan saya juga percaya ia akan memberi kesan yang baik kepada GPB," katanya.
Dato' Nadza.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penyelesaian Penuh Hutang GPB kepada TI di Wisma TI, di sini semalam.

Jelasnya, perjanjian yang ditandatangani adalah satu langkah korporat yang dinamakan 'Group Exercise to Restructure Inter Company Old Debt (GERICOD) dan melibatkan tujuh anak syarikat GPB serta TI sendiri.

Tambahnya, penyelesaian penuh hutang itu dilaksanakan melalui empat fasa di mana proses pengurangan hutang mula dilakukan pada tahun 2018.

"Di bawah perjanjian ini, TI bersetuju membatalkan smua caj faedah dari 1 Januari 2020 sehingga membolehkan saham berjaya diterbitkan.

"Perjanjian ini membawa kebaikan kepada GPB yang berjaya menjimatkan caj faedah sehingga RM480,000 setahun sekali gus membolehkan hutang lama dilunaskan tanpa menggunakan wang tunai," katanya.

Terdahulu, pinjaman RM14.3 juta dibuat GPB pada tahun 2010 dengan kadar 4 peratus setahun bagi menampung kos penutupan anak syarikatnya, Golden Pharos Doors Sdn. Bhd. yang terpaksa menutup operasi ekoran kerugian berlarutan akibat krisis kewangan global 2008 lalu.



Sumber: teganukita.net