Harumanis Subur Di Negeri Terengganu

Posted on Saturday, June 13, 2020 | 6/13/2020


Foto:Google

SETIU, 13 Jun- Percaya atau tidak, mangga harumanis sebenarnya sudah subur di Terengganu sejak 40 tahun lepas.

Mungkin ramai yang beranggapan jika berbuah sekalipun, saiz dan rasanya tidak akan mampu mencapai kualiti yang sama seperti mana ada di pasaran serta tidak mampu di eksport ke pasaran luar negara.

Jika itu tekaannya, ia sebenarnya meleset sama sekali kerana buah yang telah dipetik di kawasan Pusat Pembangunan Komoditi Rhu Tapai, di sini didapati mencapai gred premium dan tahap kemanisan sehingga 22 peratus brix.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim, berkata tanaman yang telah bermula sejak November 2016 itu diusahakan Jabatan Pertanian Terengganu bagi menyelidik kesesuaian tanah bris (tanah berpasir) di kawasan itu.

"Apabila melihat kejayaan Jabatan Pertanian, saya telah mengarahkan mereka melakukan bancian di beberapa daerah yang mempunyai tanah bris dan akhirnya, menemui pokok harumanis yang sudah lama ditanam oleh orang kampung.

"Daerah yang telah selesai dibanci ialah di Marang, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. Di setiap daerah itu kita temui kira-kira 100 pokok harumanis yang telah berusia antara 30 hingga 40 tahun serta berbuah tiga kali setahun," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Dr Azman berkata, oleh kerana masyarakat di Terengganu tidak begitu mahir dalam mengesan kualiti buah itu, akhirnya buah itu gugur dan terbiar begitu sahaja, malah ada yang menganggap ia kategori mangga biasa dan mas itam.

Projek permulaan di kawasan Rhu Tapai telah melalui proses penjagaan yang teratur hinggalah mampu mengeluarkan hasil pertama tiga tahun lepas dengan kualiti sepertimana ditanam di kawasan utara tanahair.

Ketika ditanya mengenai sasaran kerajaan negeri, beliau berkata sudah tentunya sehingga buah berkualiti tinggi itu mampu dipasarkan ke luar negara, kerana ia bukan sahaja mempelbagaikan hasil keluaran petani tetapi juga membawa pulangan berlipat ganda.

"Terengganu telah merangka Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019 hingga 2023 dan apa yang berlaku pada ketika ini adalah sebahagian daripada perancangan kerajaan negeri.

"Pihak jabatan kini turut bersama-sama dengan pelbagai pihak mengumpul mereka yang berminat untuk mengusahakan tanaman harumanis.

"Pertanian ini adalah satu kerjaya, jadi anak muda Terengganu bolehlah tampil untuk mendapatkan kursus yang dianjurkan. Saya tidak mahu ada program bagai 'tangkap muat' tetapi biarlah melalui proses awal hingga akhir dengan pemantauan teratur supaya semua pihak dapat melihat hasilnya," kata beliau.

Dr Azman berkata, Terengganu mempunyai sekitar 68,000 hektar tanah bris dan masih banyak yang terbiar.

Justeru, pihaknya akan berusaha menjejak mereka yang berminat untuk meneruskan hasrat kerajaan dengan memberi bimbangan dan bantuan dari sudut pasaran.

Sementara itu, pegawai pertanian Nurul Ameera Mohammad yang bertanggungjawab menguruskan tanaman harumanis atau nama saintifiknya, 'Mangifera indica Linn' di Rhu Tapai, berkata pada peringkat awal, beliau juga bagai tidak percaya bahawa pokok di situ mampu berbuah dan mempunyai keharuman serta rasa terbaik.

"Pada peringkat awal, hanya 30 batang pokok telah ditanam, kini kawasan seluas dua hektar telah ditanam dengan lebih 200 pokok harumanis.

"Berdasarkan rekod tanaman jenis ini, jika dijaga dengan baik ia akan terus mengeluarkan hasil setiap tahun walaupun setelah berusia 20 tahun.

"Faktor tanaman ini tentunya memerlukan iklim yang panas, namun tinjauaan kami juga mendapati pokok mangga jenis ini tumbuh dengan baik di kawasan berpasir dengan cuaca panas sekitar empat hingga lima bulan.

Tambah Nurul Ameera, mangga harumanis itu amat sesuai ditanam di sekitar Terengganu dengan pengeluaran hasil lebih daripada sekali setahun, malah pihaknya kini giat memberi tunjuk ajar kepada orang kampung supaya menjaga pokok sedia ada agar mencapai kualiti terbaik. – BERNAMA

Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 6/13/2020

0 comments:

Loading...