Hospital Dungun Perlu Disiapkan Segera-Wan Hapandi

Posted on Thursday, June 18, 2020 | 6/18/2020



Oleh: Mohd Asraf

Dungun, 18 Jun - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik menggesa pihak berkaitan menyiapkan segera pembinaan Hospital Dungun.

Katanya, proses pembinaan hospital berkenaaan bermula tahun 2016 dan tarikh siap asal difahamkan pada 22 Februari tahun lalu bagaimanapun telah mengalami kelewatan disebabkan masalah tertentu.

“Pihak berkenaan perlu mempercepatkan pembinaan, kerana dari apa yang saya lihat, projek ini bermula empat tahun lalu tetapi sehingga hari ini masih tidak siap-siap,” katanya.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke tapak hospital bagi meninjau perkembangan projek berkenaan.

Menurut Wan Hapandi, Hospital Dungun baharu akan dilengkapi dengan kapasiti 110 katil dan 10 kepakaran disediakan antaranya kecemasan, perubatan, pediatrik, obsterik dan ginekologi, anestesiologi, ortopedik, psikiatrik, pergigian dan patalogi.

“Jika hospital ini siap sepenuhnya, ia akan membantu mengurangkan kesesakan dan waktu menunggu bagi para pesakit yang sedang menunggu giliran untuk bertemu pakar,” tambah beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata memandang hospital ini masih belum siap dibina, pesakit yang ingin mendapatkan rawatan susulan atau pembedahan perlu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) atau Hospital Kemaman.

Menurut Wan Hapandi, sebelum ini, beberapa siri pertemuan dengan pihak berkaitan telah diadakan untuk membincangkan perkara berkenaaan termasuk pada  26 Mac 2019, bersama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh dan pihak kontraktor, Nukima Sdn Bhd yang turut disertai beliau bagi membincangkan perkembangan projek.

Katanya, pembinaan hospital Dungun telah mengalami sedikit kelewatan disebabkan beberapa masalah termasuk pertindihan di peringkat awal melibatkan urusan tambun tanah, berkaitan dengan peruntukan ketika berlaku perubahan Kerajaan Pusat dan disebabkan kekangan tenaga kerja.

Wan Hapandi berkata, beliau berharap agar hospital ini dapat disiapkan dengan segera dan dapat digunakan sepenuhnya demi rakyat Dungun.

Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 6/18/2020

0 comments:

Loading...