IAM Sumbang Ambulans Demi Kemudahan Asnaf Paka


Oleh : Amiirullah Mansor

DUNGUN, 1 Jun - Islamic Aid Malaysia (IAM) menyumbang sebuah ambulans kepada Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka untuk kegunaan penduduk khususnya asnaf di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Presiden IAM, Zawahid Abdullah berkata, kira-kira 10,000 penduduk dari Kampung Nyior dan beberapa kampung sekitar bakal mendapat manfaat daripada ambulans berkenaan.

"Kawasan ini memang memerlukan perkhidmatan ambulans kerana banyak kes kecemasan yang mana penduduk tidak mampu untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut."

"Mungkin disebabkan kampung-kampung ini yang berada jauh di pedalaman, diharapkan dengan adanya ambulans ini dapat membantu mereka," katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan ambulans terbabit di pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Paka, hari ini.


Sementara itu, Ketua Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Kawasan Dungun, Jamaluddin Jusoh berkata, ambulans ini juga memudahkan penduduk yang tidak mempunyai kenderaan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah yang jaraknya kira-kira 100 kilometer dari Paka.

"Di paka, pihak masjid khususnya sudah ada van jenazah, namun ada penduduk yang berkeperluan ingin perkhidmatan ambulans ke hospital.

"Terima kasih kepada IAM yang menyumbangkan ambulans ini demi kepentingan nyawa dan kesihatan masyarakat di luar sana," ujarnya.

Sumber: teganukita.net