Kerajaan PN Serius Tangani Pemandu ‘Mabuk’


Oleh Ahmad Sabri Yusof

KUALA TERENGGANU: 2 Jun - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memandang serius insiden kemalangan maut yang berpunca dari kecuaian memandu bawah pengaruh alkohol.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim menjelaskan, walaupun pihaknya di peringkat kementerian tidak terlibat secara langsung dalam undang-undang tersebut, MOSTI aktif memberikan pandangan dari segi saintifik dan sebagainya.

“Kita sedar di peringkat dunia pun WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) sendiri menyifatkan alkohol adalah merupakan sesuatu yang memudaratkan kepada kesejahteraan  umat manusia.

"Bahkan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah mengarahkan supaya dirangka pindaan yang diperlukan bagi membolehkan undang-undang lebih tegas diperkenalkan," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, semalam.

Jelasnya, kerajaan PN sedang mencari jalan bagi membolehkan pindaan undang-undang dilakukan di Parlimen dalam Sidang Dewan Rakyat yang akan datang.

“Insya’Allah, dengan inisiatif ini kita sedang bergerak ke hadapan untuk mengambil langkah yang perlu bagi menjaga kesejahteraan rakyat.

“Saya juga mengalu-alukan pelbagai pandangan yang telah dikemukakan oleh banyak pihak termasuk NGO (Badan Bukan Kerajaan) dan sebagainya yang sedikit sebanyak membantu kerajaan dalam menilai perkara ini,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu turut menyatakan, penglibatan PAS sebagai sebahagian dari kerajaan PN hari ini membuka saluran bagi parti itu mengemukakan pandangannya kepada kabinet secara lebih terperinci.

“Kita dalam PAS pun sejak dahulu lagi, kita telah memperjuangkan tentang masalah alkohol ini, supaya dikawal dan tidak sewenang-wenangnya diminum secara terbuka.

“Lebih-lebih lagi mereka yang dalam keadaan mabuk ini tidak sewajarnya dibenarkan berada di tengah-tengah masyarakat, memandu sehingga menimbulkan banyak masalah termasuklah insiden kemalangan maut,” tegasnya.




Sumber: teganukita.net