Lelaki Meninggal Dunia Disyaki Akibat Kencing Tikus


KUALA TERENGGANU,  16 Jun - Seorang lelaki meninggal dunia manakala dua lagi rakannya dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas disyaki dijangkiti Leptospirosis atau kencing tikus.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, mangsa dimasukkan ke HSNZ pada Ahad lalu dan disahkan meninggal dunia semalam.

Menurutnya, dua rakannya dimasukkan ke HSNZ semalam dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

“Mereka disyaki terkena jangkitan kencing tikus berdasarkan simptom ditunjukkan dan kita sedang menunggu ujian darah semua mangsa,” katanya pada sidang media selepas hadir ke Majlis Ramah Mesra Media di Hotel Paya Bunga di sini hari ini.

Dr Alias berkata, berdasarkan laporan ketiga-tiga mangsa bersama satu kumpulan seramai 12 orang telah mengunjungi sebuah air terjun di Dungun pada minggu lepas dan mula mengalami demam serta sakit badan.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mengunjungi mana-mana kawasan air terjun atau hutan lipur pada ketika ini bagi mengelak insiden sama berlaku apatah lagi di saat COVID-19 belum selesai.

“Mereka dilaporkan disyaki terkena kencing tikus sewaktu mandi manda di kawasan air terjun.

“Penyakit ini berpunca daripada tempat air terjun terutama musim kemarau di mana air sedikit jadi tikus akan cari air di anak sungai dan bila dia kencing dalam air ada kuman. Kebetulan pula mereka mandi dan terkena jangkitan.

“Jadi kita minta orang ramai tidak pergi mandi manda di kawasan air terjun buat masa ini apatah lagi dalam tempoh PKP ini,” katanya.

Sumber: teganukita.net