Masjid Dan Surau Dibuka, Rakyat Diminta Patuh SOP

Mohd Nor Hamzah.


KUALA TERENGGANU, 10 Jun – Seluruh rakyat termasuk ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau di Terengganu perlu bertanggungjawab mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya wabak COVID-19 tidak menular kembali.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata imej buruk boleh terpalit pada institusi agama Islam secara am jika ada kluster jangkitan baharu dikenal pasti berpunca dari masjid dan surau.

Beliau berkata, walaupun pemantauan dilakukan penguat kuasa agama di setiap daerah, dikhuatiri kebarangkalian ada masjid dan surau terbabit tidak mengikut garis panduan ditetapkan sehingga boleh meningkatkan risiko jangkitan COVID-19.

"Saya berharap semua di antara kita memberi kerjasama setika hadir ke masjid, malah berkemungkinan kita akan menarik semula kebenaran ini bagi masjid atau surau yang didapati tidak mematuhinya," katanya.

Mohd Nor berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini bagi mengulas kebenaran solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di semua masjid serta surau di Terengganu.

Mengulas lanjut, SOP yang ditetapkan itu juga perlu dijadikan sebagai norma baharu sehingga keadaan kembali pulih seperti sedia kala.

Semalam, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memberi kebenaran kepada semua masjid mengadakan solat Jumaat bermula 12 Jun.

Manakala kebenaran sama turut diberikan untuk solat fardu berjemaah kepada semua masjid dan surau bermula pada waktu Asar Jumaat ini.



Sumber: teganukita.net