Nikmati Harga Tiket Baharu Di KEVC Mulai Esok

Posted on Tuesday, June 30, 2020 | 6/30/2020




Ariffin mencuba aktiviti baharu di KEVC iaitu menyusukan gajah

HULU TERENGGANU, 30 Jun- Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir atau Kenyir Elephant Conservation Village (KECV) memperkenalkan harga tiket baharu bermula 1 Julai ini kepada para pengunjungnya setelah lebih tiga bulan ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata ia merupakan satu langkah bagi mempromosikan KECV sebagai pusat perlindungan malah satu tarikan pelancongan di Tasik Kenyir.

"Harga tiket masuk akan dipecahkan kepada dua kategori iaitu warganegara (MyKad) dan bukan warganegara malah harga yang ditawarkan juga jauh lebih rendah dari tempat lain.

"Bagi warganegara harga tiket yang dikenakan hanya RM25 bagi pengunjung yang berumur 13 tahun keatas, dan percuma kepada bagi bayi yang berusia 11 bulan kebawah.

"Manakala bagi bukan warganegara pula pula dikenakan bayaran sebanyak RM50 berbanding RM100 sebelum ini," katanya kepada pemberita di sidang media sempena pengumuman tarikh operasi semula KECV dan kadar tiket baharu di sini, hari ini.


Jelasnya, ia juga akan beroperasi
mengikut  prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjaga keselamatan pengunjung.

"Walaupun terdapat dua aktiviti yang terpaksa dibatalkan iaitu pembentangan pendidikan gajah dan aktiviti menunggang gajah namun pengunjung berpeluang mencuba pengalaman baharu iaitu menyusukan anak gajah dengan bayaran yang cukup rendah.

"Bayaran ini akan disalurkan ke Tabung Pemuliharaan Gajah KECV untuk kos perubatan gajah,"ujarnya lagi.



Ariffin juga berkata industri pelancongan di Terengganu juga akan kembali rancak berdasarkan maklum balas positif yang diterima daripada pengusaha resort dan hotel selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP) dilaksanakan.

"Kita lihat kedatangan pelancong ke pulau-pulau peranginan meningkat terutama pada hujung minggu dan semoga KEVC menerima tempias ini,"katanya.



Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 6/30/2020

0 comments:

Loading...