OKU Ditemui Selamat Selepas Hilang Lima Hari

Posted on Tuesday, June 30, 2020 | 6/30/2020


Safharul bersama ibunya.


Oleh : Muhammad A. Rahman

SETIU, 30 Jun - Orang kurang upaya (OKU),  Ahmad Safharul Yusuf, 32, yang hilang sejak lima hari lalu ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Kampung Langkap Baru pukul 4.30 petang hari ini.

Ibunya, Siti Zahara Awang Kechik, 71, atau lebih dikenali sebagai Mok Roh berkata, kejadian itu merupakan pengalaman pahit pertama yang dialami kerana Safharul tidak pernah berjauhan darinya.

"Fanuki (Ahmad Safharul) tidak berani keluar rumah seorang diri dan akan selalu meminta saya menemaninya jika mahu ke mana-mana, namun kejadian ini benar-benar mengajar saya.

"Syukur kepada Allah dia telah dijumpai. Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak dan anggota penyelamat yang bertungkus-lumus," ujar Mok Roh ketika ditemubual di Hospital Setiu di sini.

Wajah sayu seorang ibu.

Safharul kini berada di Hospital Setiu bagi menerima rawatan, dan dia dilaporkan berada dalam keadaan sihat.

Misi SAR melibatkan empat anggota polis, tiga anggota bomba, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit Amal dan Rela telah dikerahkan.

Misi mencari  hari ini telah dijalankan pada jam 10 pagi dan tamat pada jam 4.30 petang.

Pada 25 Jun lalu, Ahmad Safharul hilang dari rumah dan kejadian itu disedari ibunya selepas tiada di dalam bilik.

Kemudian Mak Roh cuba mencarinya di sekitar rumah namun gagal dan akhirnya meminta bantuan pihak berkuasa.



Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 6/30/2020

0 comments:

Loading...