Pok Mat Tidak Sangka Terima Kunjungan Pemimpin Negeri



Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 8 JUN –  Bapa kepada tiga mangsa kejadian lemas di Sungai Telemong, Hulu Terengganu pada 28 Mei baru-baru ini tidak menyangka dan terharu dengan kehadiran para pemimpin kerajaan negeri ke kediamannya.

Mohamad Ismail ataupun dikenali dengan panggilan Pok Mat, 64, yang tinggal di kampung Kuala Telemung, Hulu Terengganu tidak menyangka rumahnya sentiasa didatangi para pelawat.

“Saya tak sangga rumah saya tak putus-putus di datangi  oleh para pemimpin kerajaan negeri Terengganu. Kita orang biasa je dan orang yang hadir itu orang  kenamaan.

“Ada orang kata anak-anak saya ini  mulia Allah bagi selepas dia tiada. Terima kasih kepada semua pihak daripada orang atas hingga bawah yang sudi hadir,” jelasnya.


Pok Mat yang merupakan seorang Pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kini pemandu van jenazah berkata demikian ketika ditemui pihak media di rumahnya, pada semalam.

Justeru itu, beliau berpesan kepada anak-anaknya yang lain jangan meratapi orang yang sudah pergi.

“Saya pesan  ke anak-anak cukup-cukuplah menangis. Jangan fikir banyak. Nabi Muhammad SAW pun sedih juga dengan pemergian orang tersayang tetapi jangan melampau sangat.

“Saya redha dengan apa yang berlaku dan kita ambil kesempatan dan peluang yang ada seperti solat malam, sedekah pada mereka,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali yang membuat kunjungan ke rumah Pok Mat berkata, beliau bersimpati dengan kejadian yang telah meruntun hati  apabila kehilangan tiga orang anak sekaligus.

 “Tujuan kami datang adalah untuk menyatakan  rasa simpati  dan merapatkan ukhuwah persaudaraan sesama umat Islam.

“Mudah-mudahan apa yang berlaku ini, Pok Mat sekeluarga bersabar menghadapinya walaupun anak-anak yang pergi masih lagi diusia remaja,” ujar beliau.

Menurutnya yang juga Pengerusi Pertubuhan Muafakat Sejahtera (Sejahtera), sebelum Ini Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengadakan kunjungan bersama barisan exco dengan tujuan yang sama.

“Kami  rancang  lewat sikit tapi sekurang-kurangnya ada  penyambung yang turut sama merasai perasaan dan kesedihan. Dan ada sedikit sumbangan berbentuk kewangan diberikan kepada keluarga tersebut,” tambah Yahaya.

Sumber: teganukita.net