Shaharizukirnain Pengerusi TEKUN Nasional Baharu

Shaharizukirnain (tengah).


Oleh : Muhammad A.Rahman

KUALA LUMPUR, 10Jun - Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, secara rasmi telah dilantik sebagai Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional yang baharu semalam.

Shaharizukirnain menggantikan Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor yang melepaskan jawatan tersebut pada 15 Mac lalu.

Ketika ditemubual di Pejabat TEKUN Nasional, beliau berkata pihaknya akan cuba membantu rakyat dan meneruskan segala perancangan baik pengerusi terdahulu.

"Sasaran kita adalah golongan usahawan B40 dan M40 terutamanya yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

"Saya akan cuba membuat kerjasama dengan setiap agensi yang berkaitan terutamanya di peringkat negeri-negeri," katanya kepada pemberita.

Shaharizukirnain mengendalikan mesyuarat pertama TEKUN Nasional.
Menurut beliau, bagi mendapatkan gambaran yang jelas tentang permasalahan di setiap tempat, beliau bercadang untuk turun padang ke semua negeri.

"Saya bercadang untuk membuat lawatan rasmi ke negeri-negeri, membuat dialog bersama para peniaga dan berjumpa Menteri Besar termasuk exco kerajaan negeri.

"Ini langkah awal yang penting untuk kita sama-sama membantu para peniaga bergerak ke hadapan," tambahnya.

Sumber: teganukita.net