Solat Jamak Ketika Pulang Ke Kampung


SOALAN 

Boleh dikatakan ramai antara kita berkerja di Kuala Lumpur dan ingin balik setiap minggu untuk berjumpa dengan keluarga di Melaka. Jadi, adakah kita boleh jamak dan qosor solat kita?

JAWAPAN 


Dalam perjalanan datang ke Melaka dan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur tuan boleh mengerjakan solat secara jamak dan qasar kerana jarak perjalanan telah melebihi dua marhalah dan tuan berstatus sebagai musafir.

Ada pun boleh atau tidak solat dengan jamak dan qasar semasa berada di Melaka  maka perlulah dilihat terlebih dulu berapa lama tinggal di Melaka.

Jika tuan hendak tinggal di  Melaka selama tiga hari sahaja atau kurang dari tiga hari maka tuan masih berstatus sebagai musafir yang singgah di Melaka dan haruslah bagi tuan untuk jamak dan qasar solat.

Akan tetapi jika tuan berniat untuk tinggal di Melaka selama empat hari atau lebih maka sebaik sahaja tuan memasuki sempadan bandar Melaka maka tuan telah hilang status seorang musafir dan tuan telah menjadi pemukim bandar Melaka maka tidak sah lagi tuan mengerjakan solat secara jamak dan qasar.

Berkata Syeikh Hassan Al-Kaf :

ضابط المقيم هو الذي نوى الإقامة في بلد أربعة أيام فأكثر غير يومي الدخول والخروج وفي نيته الرجوع لوطنه ولو بعد زمن طويل. ضابط المستوطن هو الذي لا يظعن {لا يسافر} صيفا ولا شتاء إلا لحاجة


Artinya : “Dan tanda untuk mengenal seorang mukim itu ialah orang yang berniat tinggal di suatu negeri selama empat hari atau lebih tidak termasuk hari masuk dan hari keluar dan ada pada hatinya untuk kembali semula ke tempat asal dia datang walau pun selepas masa yang lama.” (Kitab At-Taqrirat As-Sadidah)

Yang dimaksudkan dengan empat hari itu ialah empat hari tinggal di tempat bermukim tanpa mengira hari sampai dan hari balik.

Contohnya sampai di Melaka pada hari Jumaat dan hendak balik ke Kuala Lumpur pada hari Selasa maka dia dikira masih seorang musafir kerana hanya tinggal di bandar Melaka selama tiga hari sahaja yaitu hari Sabtu dan Ahad dan Isnin. Ada pun hari jumaat itu tidak diambil kira kerana ia hari yang dia sampai ke Melaka dan begitu juga hari Selasa tidak dikira sebab ia adalah hari hendak keluar balik ke Kuala Lumpur. Maka dalam keadaan ini dia boleh melakukan jamak dan qasar kerana masih berstatus sebagai musafir yang singgah di suatu tempat.

Ada pun jika dia sampai ke Melaka pada hari Jumaat dan hendak pulang ke Kuala Lumpur pada hari Rabu maka dia sudah menjadi orang mukim sebaik sahaja sampai ke bandar Melaka sebab dia dikira hendak tinggal selama empat hari yaitu hari Sabtu dan Ahad dan Isnin dan Selasa dan tidak dikira hari Jumaat dan tidak dikira hari Rabu sebab hari Jumaat adalah hari dia sampai dan dan hari Rabu adalah hari dia hendak keluar.

Maka apabila dia telah bertukar status menjadi orang yang mukim nescaya tidak sah dia lakukan solat secara jamak dan qasar.

Jadi sebelum melakukan solat secara jamak dan qasar hendaklah diketahui terlebih dulu adakah diri kita itu seorang musafir atau seorang pemukim.

Wallahua’lam

Kredit: Ustaz Azhar Idrus

+ Baca respon pembaca solat jamak ketika pulang ke kampung di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media