Terengganu Lancar Buku Bina Keluarga Bahagia

Posted on Monday, June 22, 2020 | 6/22/2020


Buku "Keluarga Mawaddah & Rahmah" dilancar hari ini.
KUALA TERENGGANU, 22 Jun - Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dalam usaha membina keluarga masyarakat Terengganu yang bahagia dan harmoni dengan melancarkan Buku "Keluarga Mawaddah & Rahmah" di Wisma Darul Iman hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, inisiatif tersebut diyakini berupaya meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat berkaitan peranan individu khususnya wanita dalam institusi kekeluargaan.
Hanafiah Mat.
"Alhamdulillah saya sangat berbesar hati kerana buku ini berjaya disiapkan. Inilah salah satu cita-cita dan harapan saya, iaitu satu lagi pendedahan kepada masyarakat khususnya wanita yang terdiri daripada ibu, isteri dan anak-anak kita.

"Tentang bagaimana mereka memahami sebaik mungkin kehidupan seorang wanita berlandaskan kehidupan Rasullah bersama isteri-isteri dan anak-anak Baginda. Dengan sebab itu, hari ini penulis membentangkan semula kepada kita supaya kita dapat memahami peranan dan cabaran tersebut.

"Justeru saya mengharapkan kita dapat memberi tumpuan membaca dan memahami buku ini di peringkat awal dan seterusnya bertanya guru masing-masing bagaimana menjalani kehidupan berkeluarga mengikut syariat Islam," katanya pada Majlis Pelancaran Buku "Keluarga Mawaddah & Rahmah", di sini.


Hanafiah turut berterima kasih kepada penulisnya, Dr Hamdan Muhammad yang menganalisa dan melihat sendiri apa yang berlaku kepada kaum wanita dalam era globalisasi malah berkongsi ilhamnya dalam buku tersebut.

"Bagi pihak kerajaan negeri, jutaan terima kasih kepada Dr Hamdan yang menulis dengan sebaik mungkin. Tulisannya sangat ringan dan mudah difahami. Itulah yang cuba ditonjolkan dalam cabaran dunia masa kini di mana berlakunya perceraian, masalah rumah tangga dan kerosakan akhlak.

"Beliau menulis sebuah buku mengenai kasih dan cinta antara satu sama lain untuk menjadi pedoman dari awal dilahirkan sehinggalah berkeluarga dan akhirnya bertemu Allah SWT," jelasnya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor.




Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 6/22/2020

0 comments:

Loading...