Terengganu Rangka SOP Pelaksanaan Ibadah Korban

Ibadah korban ibadah wajib Hari Raya Aidiladha. 
Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 2 Jun – Ekoran wabak COVID-19 yang masih belum reda, kerajaan Terengganu mengambil langkah awal untuk meneliti prosedur operasi standard (SOP) khas bagi pelaksanaan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia akan diteliti dengan rapi  bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

"Ini adalah makluman awal kerana pihak kerajaan negeri dan JPV mahu supaya ibadah korban dibenarkan perlaksanaannya.

"Perkembangan SOP ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa sama ada ia dilakukan di rumah sembelihan, masjid, surau atau tempat-tempat tertentu yang dibenarkan, kita juga akan rujuk pihak-pihak berautoriti," katanya.

Dr Azman.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan perbincangan bersama Pengarah JPV Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali di Wisma Darul Iman hari ini.

Sehubungan dengan itu, sebagai persediaan ke arah pelaksanaannya, kebenaran untuk memindahkan ternakan antara daerah-daerah dan negeri-negeri bagi tujuan ibadah korban adalah dibenarkan.

"Prosedur biasa untuk pindahan dengan permohonan permit di Pejabat JPV daerah yang berdekatan dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Temu janji adalah digalakkan untuk mengelakkan perkumpulan ramai.

"Setiap permohonan permit sembelihan, lembu atau ternakan akan diperiksa oleh kakitangan JPV sebelum permit dikeluarkan bagi memastikan ternakan bebas wabak," tambah beliau.

Sumber: teganukita.net