Tiada Lesen Premis Rumah Urut Maksiat Dikeluarkan - MBKT

Shahidan Embok.

KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) menafikan bahawa pihaknya mengeluarkan lesen kepada premis rumah urut untuk beroperasi.

Datuk Bandarnya, Shahidan Embok menegaskan, pihak MBKT tidak terlibat dengan sebarang rumah urut yang berunsurkan maksiat di kawasan bandar raya berkenaan.

"Oleh itu, pihak MBKT menafikan tohmahan yang tular di media sosial dan you tube yang mengatakan MBKT mengeluarkan lesen bagi premis rumah urut berunsurkan maksiat atau seumpama dengannya," jelasnya dalam satu kenyataan rasmi MBKT hari ini.

Dr Alias.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak ketika dihubungi berkata, dakwaan itu jelas berunsur fitnah terhadap kerajaan Terengganu.

"Tiada rumah urut maksiat dibenarkan.
Apa yang ada hanyalah rumah urut tradisional yang diluluskan kerajaan terdahulu, juga beberapa pusat urut kaki@refleksologi.

"Urut tradisional beroperasi seperti urut kampung, yang perempuan tukang urutnya perempuan, dan begitulah sebaliknya," tegas Dr Alias.

Beberapa hari lalu, tular di media sosial dan you tube tentang satu video yang mengundang persepsi bahawa rumah urut berunsur maksiat telah wujud secara berlesen di Terengganu.

Video tersebut memaparkan tuduhan berniat jahat pemimpin muda Parti Amanah Nasional (Amanah) Terengganu dan Kelantan.



Sumber: teganukita.net