APMM Selamatkan 12 Pemancing



KUALA TERENGGANU, 3 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menyelamatkan 12 pemancing  berhampiran Pelantar Tapis R kira-kira 120 batu nautika daripada pantai Kuala Terengganu  apabila bot dinaiki mengalami kerosakan pada bahagian kipas enjin selepas tiga hari di laut.

Pengarahnya, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata bot tempatan yang mengalami kerosakan 'propeller' kira-kira 0.5 batu nautika dari pelantar minyak Tapis R dikesan kira-kira jam 1 pagi Rabu.

12 pemancing yang berjaya diselamatkan Foto Ehsan: APMM


Katanya, kesemua pemancing  berasal dari Pahang dan Kuala Besut yang berusia antara 30 hingga 56 tahun berada dalam keadaan selamat.

"Sejurus menerima maklumat tersebut KM Langkawi yang berada berhampiran telah diatur gerak ke lokasi tersebut.

"Lebih kurang 1 pagi, KM LANGKAWI berjaya menemui sebuah bot bersama kesemua awak-awak dan tekong seramai 12 orang kesemuanya warga tempatan berada dalam keadaan baik.

"Bot bersama kesemua mangsa ditunda oleh anggota KM Langkawi dengan menggunakan sebuah bot nelayan asing Vietnam yang telah ditahan sebelumnya oleh KM Langkawi  ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.

Susulan kejadian itu, Muhammad Suffi menasihatkan pengusaha bot yang menjalankan perkhidmatan memancing tidak membawa penumpang ke lokasi terlalu jauh bagi tujuan keselamatan.

Katanya, dengan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, sebarang kemungkinan akan berlaku selain keadaan fizikal bot yang kecil dan tidak selamat untuk berada di laut dalam.

Tambah beliau lagi, memancing di kawasan berhampiran pelantar adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.



Sumber: teganukita.net