Peniaga tamak, jual durian harga ikut model kenderaan pelanggan

Gambar sekadar hiasan sahaja

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Ahmad Fitri Ali mendedahkan, ada peniaga durian yang dipercayai menjual harga buah berkenaan dengan harga berbeza mengikut model kenderaan pelanggan. 

Faktor itu dipercayai menjadi sebab mengapa kebanyakan peniaga durian tidak meletakkan tanda harga pada produk jualan walaupun mereka tahu bahawa perbuatan itu adalah salah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. 

Selain itu, permintaan tinggi terhadap buah durian mendorong peniaga mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan. 

"Sebagai contoh, harga durian naik dua hingga tiga kali ganda apabila pelanggan yang singgah menggunakan kenderaan mewah. Mereka sanggup berbuat demikian bagi mengaut keuntungan berlipat ganda," katanya. 

Bagi mengelakkan perkara itu dari terus berlaku, KPDNHEP akan selalu melakukan pemeriksaan terhadap semua pusat jualan durian di tepi jalan di Kuantan, Jerantut, Bentong, Lipis, Raub dan Temerloh. 

Peniaga yang didapati gagal mempamerkan tanda harga akan kompaun RM1,000 mengikut Perintah 3(1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993.

Setakat ini, empat peniaga durian telah dikenakan kompaun kerana gagal mempamerkan tanda harga termasuk menggunakan alat tidak ditentusah. 

Sumber: Harian Metro


Sumber : thereporter.my